Pemenang Pusingan 5 di Teluk Intan, Md Syafiq Syafiq Nazrul Abdullah (14) terpaksa berpuashati di tempat kedua di Kemaman, setelah Md Aliff Aiman Tumiran sekali lagi membuktikan kehadirannya tidak boleh dipandang enteng oleh peserta lain. ini merupakan kali kedua Alif menjuarai cabaran kategori ini setelah memenangi Pusingan 2 di Batu Kawan tempohari. Â Tempat ketiga dikuasai Arvin Roslan (99) yang telah memberikan persembahan terbaiknya setakat ini.
Cuaca panas telah menghangatkan lagi perlumbaan terakhir hari ini di Kemaman. Perlumbaan didahului oleh Aliff pada awalnya namun dipintas Md Zikri (70) sebelum ditawan semula oleh Aliff sebelum berakhir pusingan pertama. Seawal itu lagi kelompok tiga pelumba di hadapan iaitu Aliff, Zikri dan pemenang di Teluk Intan iaitu Syafiq Nazrul telah membuka jarak meninggalkan pelumba lain di belakang mereka yang didahului Arvin.
Awal pusingan 2 menyaksikan Syafiq Nazrul berjaya memintas Md Zikri sebentar sebelum terpaksa akur untuk kembali ke tempat ketiga. Tidak berputus asa, Syafiq sekali lagi berjaya mendahului Zikri di pembukaan pusingan ketiga. Sementara itu persaingan tempat ketujuh di belakang telah menyaksikan (4) hilang kawalan roda hadapan dan terjatuh dalam laluan (98) menyebabkan kedua dua mereka terjatuh di pusingan kelima.
Persaingan tempat ketiga akhirnya berubah apabila Zikri hampir saja hilang kawalan roda belakangnya di awal pusingan kelapan dan kesilapan ini membolehkan Arvin mencelah dari bahagian dalam.
Perlumbaan 10 pusingan nyata sengit bagi dua pelmba hadapan namun berjaya ditamatkan Aliff dalam masa 9:29.690saat, dengan diikuti hanya 0.707saat di belakang oleh Syafiq, manakala Arvin ketinggalan agak jauh iaitu 6.560saat di belakang mereka.
Md Zulhilmi Yazid masih kekal mendahului kutipan mata keseluruhan dengan 83 mata dan diikuti Md Zikri Ahmad Zamri dengan 69 mata, manakala anak tempatan Mu’izz Al-Atrash Abd Ghani mengekori di tangga ketiga setelah gagal melayakkan diri untuk perlumbaan akhir hari ini.