fbpx

AKSI AGRESIF KASMA TERIMA PADAH


Kasma Daniel Kasmayudin sekali lagi mencetus kontroversi dalam usahanya memburu gelaran juara keseluruhan CP130 setelah tindakan aggresifnya sewaktu perlumbaan akhir pada pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kemaman, Terengganu, semalam menyebabkan pelumba berusia 16 tahun itu dikenakan denda berjumlah RM2000 atas kesalahan ‘Unsporting behaviour’.

Sekalipun bergelar juara, pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu menerima tekanan dari Ahmad Afif Amran sewaktu perlumbaan dan dilihat seringkali menghalang laluan pencabarnya itu dengan sengaja.

Tindakan itu bagaimanapun dilihat oleh steward perlumbaan sebagai tindakan yang melanggar peraturan dan tidak mempunyai semangat kesukanan ketika di litar.

“Alat penukar gear saya mengalami kerosakan sewaktu perlumbaan menyebabkan saya agak panik dan tertekan kerana Afif rapat di belakang dan sedar bila-bila masa sahaja boleh memotong saya. Sebab itu saya cuba menghalang Afif daripada memintas untuk mempertahankan kedudukan saya,” jelas Kasma sambil menerima dengan terbuka hukuman yang dikenakan oleh steward perlumbaan.

Sementara itu bagi Ahmad Afif, dia tidak hiraukan tindakan Kasma sebaliknya hanya memberi sepenuh tumpuan untuk memenangi perlumbaan dengan adil.

“Saya fikir Kasma mengalami masalah kerana dia seringkali melihat ke belakang untuk mengetahui di mana saya berada. Saya tidak sedar tindakan itu adalah satu kesalahan. Saya fikir dia turut panik kerana Ahmad Fazli tidak berada di belakang untuk membantunya. Saya tidak terfikir untuk membalas atau melakukan tindakan serupa kerana saya mahu menang dengan beraksi sehabis baik dan mempunyai semangat kesukanan,” jelas Afif yang pada masa sama turut mengucapkan tahniah diatas kemenangan Kasma.

Steward perlumbaan dari AAM turut memberi amaran terakhir kepada Kasma diatas tindakan seperti itu. Jika kesalahan serupa berulang pada perlumbaan akan datang, pelumba itu bakal menerima hukuman ditolak mata perlumbaan.

, ,