IZAM MENGATASI NASIB

Dalam kategori CP125 di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025, satu nama akhirnya berdiri di puncak selepas bertahun-tahun menunggu detik yang seakan tidak kunjung tiba. Md Izam Ikmal Izamli daripada PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING muncul sebagai Juara Keseluruhan 2025, mengakhiri sebuah perjalanan yang penuh ujian dan ketabahan.

Izam terkenal sebagai pelumba yang lincah, agresif dan sentiasa memberi tentangan sengit di litar. Namun prestasi yang konsisten itu sering dinafikan oleh nasib. Sejak mula menyertai Cub Prix, gelaran juara keseluruhan tidak pernah menjadi miliknya, walaupun sering berada dalam kalangan pencabar utama.

Tetapi Izam tidak pernah membalas kekecewaan dengan keluhan. Tidak pernah menyalahkan sesiapa, tidak pernah hilang fokus. Dia belajar, memperbaiki diri, dan terus bangkit walaupun dunia seolah-olah menolaknya jatuh berulang kali.

Musim 2024 hampir membuka pintu kejayaan. Momentum yang kuat pada awal musim memberi harapan besar, namun dua pusingan tanpa penamat meragut mata penting dan memaksanya berpuas hati di tempat kedua keseluruhan, Izam sekali lagi dipisahkan daripada trofi yang begitu diimpikan.

Tahun 2025 menjadi titik kebangkitan sebenar. Empat kemenangan daripada sepuluh pusingan pada fasa awal mengukuhkan kedudukannya, manakala kemampuan menamatkan semua perlumbaan pada penghujung musim memastikan setiap mata dikumpul dengan penuh nilai dan makna. Ketahanan fizikal, kematangan mental dan fokus yang tidak berbelah bahagi akhirnya membuka jalan ke trofi yang sekian lama mengelak daripadanya.

Musim ini mengubah segalanya.

Setelah bertahun-tahun menanti ruang untuk bersinar, Izam Ikmal Izamli akhirnya mengangkat trofi juara keseluruhan sebagai bukti bahawa ketabahan akan sentiasa menemukan jalannya ke podium tertinggi.

Kini trofi itu sudah menjadi miliknya, apakah langkah seterusnya bagi pelumba yang tidak pernah berhenti percaya?