fbpx

AKID JUARA CP150 EDISI KE-30


Pusingan Kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada petang ini. Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing meraih gelaran Juara bagi kategori CP150.

Di sesi “Super-Pole” yang telah berlangsung pada tengah hari tadi, Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mencatatkan masa terpantas pada 43’798s sekaligus mengambil kedudukan pertama di grid untuk sesi perlumbaan akhir. Di tempat kedua adalah Muzakkir dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 43’821s dan diikuti oleh Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing di kedudukan ketiga di petak grid dengan catatan masa 44’088s.

Di sesi perlumbaan akhir tadi, Muzakkir dengan pantas mengambil kedudukan P1 di selekoh pertama. Di P2 adalah Afif diikuti oleh Haziq di P3. Sebelum berakhirnya lap pertama, Afif memintas Muzakkir dan mengambil kedudukan P1. Di P4, Akid cuba menutup jurang dengan Haziq. Azroy yang berada di P5 mengejar Akid. Dengan setiap lap, jurang di antara Afif dan Muzakkir semakin besar. Di akhir lap ketujuh, Azroy berjaya mengurangkan jarak di antaranya dan Akid. Di akhir lap kelapan, Muzakkir hilang kawalan dan berundur ke P5.

Di P3, Akid mula mencari peluang untuk memintas Haziq tetapi Haziq tampak hebat mempertahankan kedudukannya. Di lap kesebelas, Akid berjaya memintas dari dalam untuk seketika sebelum diserang balik oleh Haziq. Berbaki tujuh lap, Afif mendahului kelompok tersebut dengan jurang 1.205s tetapi Akid meneruskan semangat untuk memburu takhta kejuaraan. Di lap keempat belas, Akid dengan pantas menyambar peluang untuk memintas Haziq sekali lagi dari dalam sebelum meningkatkan kelajuannya. Dengan takhta di tangan Akid, beliau mendekati Afif dengan jurang 0.552s. Di lap terakhir, Afif dengan yakin melakukan satu lagi lap sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama pada 14’37:265s diikuti oleh rakan sepasukannya Akid yang berjaya dalam buruan takhta Juara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 166 mata dengan catatan masa hari ini pada 14’37:985s.

Menurut Akid, “Musim ini sangat baik bagi saya. Hanya sekali saya terlepas peluang ke podium di pusingan satu. Pusingan-pusingan seterusnya memang rezeki bagi saya dan saya amat berterima kasih kepada pasukan saya dan mekanik saya yang telah menyediakan jentera yang sangat bagus bagi saya untuk musim ini. Mereka juga banyak memberikan saya sokongan dan galakan yang diperlukan. Saya tidak mempunyai sebarang tekanan pada hari ini terutamanya di dua lap terakhir. Saya hanya cuba fokus untuk ke podium dan berharap jentera saya tidak memberikan sebarang masalah. Dari semalam dan pagi ini, jentera saya tidak begitu hebat. Oleh itu, saya hanya cuba sedaya upaya untuk buat yang terbaik di sesi perlumbaan tadi.”

Afif yang menamatkan perlumbaan hari ini di tempat pertama berkata, “Di perlumbaan tadi, saya memang nak berikan 100% yang boleh. Saya cuba mengulangi apa yang saya telah buat di musim lepas. Syukur, semuanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Rakan sepasukan saya juga telah berbincang tadi, Cuma bergantung kepada keadaan di perlumbaan tadi. Terima kasih kepada pasukan saya selama satu musim ini untuk suatu pencapaian yang sangat baik.”

Di tempat ketiga adalah Md Haziq Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 14’38:924s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,