Pusingan Kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada petang ini. Md Irfan Haykal Amidi dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing meraih kemenangan di Litar Tangkak bagi kategori CP125.
Di sesi “Shoot-Out” yang telah berlangsung pada pagi tadi, Irfan Haykal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing mencatatkan masa terpantas pada 45’541s yang telah menempatkan beliau di kedudukan pertama di grid diikuti oleh pelumba-pelumba sepasukan Khairi Ashraf dan Fareez Afeez dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team, masing-masing dengan catatan masa terpantas pada 45’898s dan 46’014s.
Di sesi perlumbaan tadi, Fareez dengan pantas mengambil kedudukan P1 di ikuti oleh Irfan di P2 dan Khairi di P3. Tetapi di akhir lap pertama, Irfan dengan agresif memintas Fareez dan mengambil P1 diikuti oleh rakan sepasukan YYPang yang tidak kurang hebat. Di akhir lap keempat, Irfan jauh meninggalkan rakan sepasukan tersebut dengan jurang sebanyak 3.5s dengan Khairi di depan Fareez. Di P4, Hafiza cuba menutup jurang dan di kejar oleh Shafiq Ezzariq.
Perlumbaan tersebut semakin sengit tetapi Irfan mengekalkan kedudukannya di P1 dan hanya perlu menamatkan perlumbaan tanpa sebarang kesilapan. Di P2 and P3, Fareez cuba menutup jurang tetapi Khairi tidak mahu mengalah. Di akhir lap kesembilan, Irfan berjaya membuka jurang sebanyak 5.2s daripada Khairi. Di P4, Hafiza cuba mengelak tekanan daripada Shafiq. Berbaki lima lap, Syukran memintas Shafiq dan mengejar Hafiza. Di lap terakhir, Irfan meneruskan aksi dengan mantap sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11’34:381s.
Menurut Irfan, “Persaingan hari ini memang agak sengit. Di permulaan perlumbaan tadi, saya berebut sikit untuk mencari kedudukan saya di hadapan pasukan YYPang. Keadaan litar hari ini amat baik, tidak macam semalam. Tak begitu panas dan tidak hujan. Saya ada buat perubahan sedikit pada jentera saya. Saya mencuba “setup” yang lain sikit dan memang baguslah keadaan jentera saya tadi. Bagi saya, pelumba-pelumba YYPang agak mantap dan mereka telah memberikan saya saingan yang hebat pada permulaan tetapi, Syukur, saya dapat menguasai litar pada hari ini.”
Khairi Ashraf menamatkan perlumbaan tersebut di tempat kedua dengan catatan masa 11’40:948s.
Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 11’46:707s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook