fbpx

WALAUPUN SUDAH 3 DEKAD DIANJURKAN, CABARANNYA BELUM BERAKHIR – RON HOGG


Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix berada dalam kelas tersendiri dalam sukan permotoran dua roda apabila menyambut ulangtahun ke-30 dengan melakar pelbagai pencapaian melalui pelumba-pelumba yang dilahirkan dalam tempoh tiga dekad tersebut.

Kejuaraan Cub Prix bermula pada tahun 1994 dengan lima pusingan yang berlangsung di daerah berlainan sekitar Semenanjung. Perlumbaan 10 pusingan bermula pada tahun 2006 dan sehingga kini, Cub Prix berjaya melengkapkan 240 pusingan secara keseluruhan. Sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai juga memberikan peluang kepada Cub Prix untuk menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pelbagai pencapaian telah dilakar menerusi bakat-bakat yang dilahirkan menerusi platform sukan permotoran kebangsaan yang berprestij itu sehingga hari ini, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual, Ron Hogg, selaku penganjur Cub Prix menekankan objektif asal Kejuaraan MCP masih belum tercapai.

“ Pertama sekali, kami selaku penganjur amat gembira Cub Prix telahpun mencapai 30 musim dan ini bukan satu perkara yang mudah tetapi ideologi kejuaraan Cub prix dari peringkat awal sampai sekarang adalah untuk melahirkan lebih ramai pelumba yang berbakat. Dengan program-program yang kita memperkenalkan baru ini kita harap pelumba-pelumba yang meningkat naik ini boleh pergi ke peringkat lebih tinggi.

“Objektif Kejuaraan Malaysia Cub Prix ini tidak akan tercapai lagi sehingga kita tidak lagi menghasilkan pelumba-pelumba yang berjaya di peringkat dunia dan tanpa yang lama tiada yang baru. Jadi kejuaraan ini sangat penting untuk memastikan pelumba- pelumba dapat di bawah peringkat lebih tinggi. Kami mengharapkan dengan pengalaman yang kami miliki, kami boleh memendekkan masa untuk menlahirkan juara dunia.”

Ron Hogg akur, walaupun beberapa nama yang memulakan perjalanannya di platform Cub Prix berjaya membawa cabaran negara di persada dunia, tetapi untuk menggandakan produk MCP yang berkaliber untuk bersaing di pentas lebih tinggi itu masih belum tercapai lagi.

“Objektif satu inisiatif itu akan diketahui apabila adanya hasil dari segala kerja keras yang dilakukan, contohnya seperti, Khairul idham Pawi, SuperKIP melakar kemenangan di pentas Moto2. Ia adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan. Perasaan itu tidak terkata dan tidak dapat dihuraikan. Kami mahu memastikan mereka yang menyertai bukan hanya sekadar memenuhi slot tetapi juga berjaya melakar kejayaan. Bagaimana kita nak lahirkan sepuluh lagi KIP, sepuluh lagi Kasma atau Azroy? Jika kami dapat menghasilkan mereka-mereka ini baru maknanya kami telah capai objektif sebalik penganjuran Kejuaraan MCP. Sehingga itu cabarannya belum lagi dicapai!

“Walaupun kejohanan ini sudah dianjurkan untuk 30 musim, cabarannya belum berakhir. Cabarannya tetap sama, adalah untuk mencari bakat yang boleh kita pertengahkan ke peringkat tertinggi dan bagi merealisasikan objektif itu kami mengharapkan pihak Kerajaan akan melihat bahawa sukan permotoran ini mempunyai potensi untuk melahirkan juara-juara di peringkat Asia atau Dunia.

“Pada masa yang sama, kami sangat mengharapkan lebih banyak fasiliti litar disediakan supaya pelumba-pelumba ini dapat menggunakan fasiliti berikut untuk berlatih. Bagi kami ini merupakan satu agenda yang sangat penting kalau sukan ini ingin diperkembangkan ke satu peringkat yang paling tinggi. Apa yang kami lihat MCP selalu menghaslkan pelumba-pelumba yang berprestasi ataupun yang memiliki skil yang handal. Jadi, kami cuba membuat program-program yang baru untuk menghasilkan lebih ramai pelumba-pelumba terbaik.

“Jadi, fasiliti ini adalah satu keperluan yang mustahak untuk kami lahirkan lebih ramai pelumba yang mampu mencabar satu sama lain di peringkat kebangsaan dan apabila mereka ke peringkat Asia atau Dunia mereka juga akan mampu memberi satu saingan yang sengit kepada pelumba antarabangsa.”

Setiap sukan mempunyai peristiwa manis dan pahit, sukan permotoran turut tidak ketinggalan.

“Apabila seseorang pelumba itu berjaya melakar kemenangan di peringkat lebih tinggi itu adalah satu kepuasan bagi kami, tetapi pada masa yang sama kami selaku penganjur turut melalui beberapa tempoh yang sukar sepanjang tempoh penganjuran. Ada masanya sesetengah yang mampu memberi saingan tidak dapat meneruskan perjuangan mereka apabila mereka terpalit dengan beberapa sebab yang tidak dapat dielak antaranya kekurangan dana.

“Selainnya, kita juga tidak boleh menafikan sukan permotoran ini adalah antara sukan yang berisiko tinggi. Kami cuma selalu mengharapkan setiap pelumba yang beraksi akan menamatkan saingan dengan selamat.” Dengan harapan untuk memperkembangkan lagi Ron Hogg optimis perjuangan mereka tidak akan terhenti sampai bila-bila.

Selaku pihak penganjur, Safe Aim Mutual turut memperkasakan penglibatan golongan Wanita dalam sukan permotoran jentera dua roda ini dengan mewujudkan akademi bagi melatihkan lebih ramai Wanita.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook