“Begitu rupanya perasaannya berada di podium. Saya nak lagi…”
Ini luahan Md Aiman Md Hafis selepas menaiki podium buat pertama kali apabila menamatkan perlumbaan Pusingan 3 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) sekaligus memahat nama pasukannya, BROTHERS 7 TECH RACING di kedudukan podium buat sulung kali.
Aiman berkata, “Syukur alhamdulillah, perasaan saya sangat gembira kerana ini podium pertama BROTHERS 7 TECH RACING TEAM sejak menyertai Kejuaraan Cub Prix pada 2022 dan juga podium pertama bagi saya di ketogeri WIRA KBS.”
Ia bukan satu pencapaian yang mudah buat pasukan “underdog” ini untuk meraih kedudukan podium dengan keberadaan pasukan-pasukan gergasi seperti HONDA KC RACING dan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING yang memegang gelaran juara keseluruhan selama 4 tahun berturut-berturut sejak 2019, tetapi Aiman berjaya membuktikan kemampuannya.
“Dalam perlumbaan Wira KBS, cabaran dan persaingan sangat sengit. Saya sedar bahawa untuk mencapai tahap tertinggi, saya perlu lebih fokus pada mengatasi kelemahan-kelemahan saya dengan cepat. Bos saya sentiasa memberi nasihat, tunjuk ajar, dan semangat yang membantu saya yakin bahawa usaha-usaha yang saya lakukan akan mencapai kejayaan. Saya membawa semangat yang diberikan oleh bos serta kesungguhan saya, dan alhamdulillah, hasilnya cukup memuaskan dengan mencapai podium,” kata Aiman.
Pencapaian itu turut menyaksikan Aiman mendahagakan pencapaian lebih tinggi dan lebih berkeyakinan untuk meletakkan sasaran.
“Saya telah menetapkan matlamat yang tinggi untuk pasukan Brothers 7 Tech Racing Team dan untuk diri saya sendiri. Saya berazam untuk berusaha dengan penuh keikhlasan demi mencapai prestasi terbaik, insyaallah. Saya bertekad untuk mempertahankan momentum saya agar terus berada di podium. Kejayaan ini tidak hanya untuk diri saya, tetapi juga sebagai penghargaan kepada bos dan pasukan Brothers 7 Tech Racing Team,” kata Aiman.
“Trek Teluk Intan adalah trek yang sangat teknikal dengan selekoh U-turn dan selekoh S. Pada sesi latihan bebas, saya akan berusaha menyesuaikan diri dengan trek ini. Saya berharap dapat meletakkan diri di petak barisan depan pada sesi kelayakan untuk grid permulaan.”