fbpx

AFIF LAKAR MASA TERPANTAS DI JEMPOL

Kemeriahan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bermula pada pagi ini di Dataran Seri Jempol dengan latihan bebas dan diikuti dengan sesi kelayakkan pada waktu petang. Bagi kategori CP150, Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mencatatkan masa terpantas.

Litar Jempol sepanjang kira-kira 1.104km dengan lapan selekoh secara keseluruhan merupakan suatu litar yang agak teknikal. Namun begitu, para pelumba kejuaraan Cub Prix telah tampil dengan semangat yang kental dalam mengecapi pencapaian yang hebat. Pada musim lepas, Md Izzat Zaidi Md Salehan mencatatkan rekod masa terpantas, 43’880s.

Bagi kategori CP150 – A, sesi kelayakan 1, Azroy Hakeem Anuar dari Honda Yuzy Estremo Team mencatatkan masa terpantas pada 44’399s dan pada sesi kelayakan 2, beliau mencatatkan masa yang lebih singkat, 44’346s. Namun begitu, Ahmad Afif Amran berjaya mencatatkan masa terpantas bagi sesi kelayakan 2 bagi kategori CP150 – B dengan catatan masa terpantasnya pada 44’226s menjadikannya pelumba terpantas pada petang ini.

Menurut Afif, “Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya kerana saya terjatuh pada pagi ini dan keadaan jentera saya “total loss”. Saya hampir hilang setup keseluruhan jentera saya sebelum saya pergi ke sesi kelayakan. Tetapi krew dan mekanik telah berbincang untuk memperbaiki kekurangan dan syukur, kerjasama daripada krew dan mekanik telah menghasilkan pencapaian masa terpantas.

Tempat kedua terpantas diambil oleh Md Muzakkir Mohamed dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 44’263s. Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mencatatkan masa ketiga terpantas secara keseluruhan dengan catatan masa terpantasnya pada 44’281s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook