Pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) dan Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team berjaya meraih kemenangan bagi kategori CP150.
Perlumbaan tadi bermula dengan Izzat Zaidi di petak grid pertama selepas mencatatkan masa terpantas bagi sesi Super Pole pagi tadi diikuti oleh Azroy Hakeem dan Haziq Fairues di kedudukan kedua dan ketiga masing-masing. Untuk dua lap pertama, Izzat dengan gagahnya berjaya mempertahankan kedudukannya di P1.
Namun begitu, di lap ketiga, Iqbal Amri berjaya mengambil peluang untuk ke P1 dengan Nazirul Izzat di belakangnya. Pada lap kelima dan keenam, Aiman muncul ke P1 dan pada lap ketujuh, Idlan Haqimi mengambil kedudukan pertama. Dengan berbaki empat lap lagi, Azroy mula membuka langkah untuk menguasai perlumbaan tersebut dan pada akhir lap kelapan, beliau berjaya ke P1.
Walaupun sukar untuk pelumba-pelumba CP150 mempertahankan kedudukan mereka di setiap lap, Azroy tidak mengalah. Pada lap kesembilan, Azroy di pintas oleh rakan sepasukannya, Idlan manakala Haziq mengambil kedudukan P2. Namun begitu, Azroy berbekalkan pengalaman menggunakan strateginya dengan baik untuk kembali ke P1 pada lap kesepuluh.
Di lap terakhir, perlumbaan bertambah sengit dengan kelompok pelumba yang semakin rapat. Di selekoh terakhir, Azroy berjaya membuka jurang dengan kelompok di belakangnya dan memecut ke garisan penamat. Beliau mencatatkan masa terpantas 14’08:068s.
Tempat kedua di ambil oleh rakan sepasukannya Md Idlan Haqimi Raduan dengan catatan masa 14’08:414s.
Md Iqbal Amri Abd Malek dari pasukan Yamalube Gen Blu Ahm Motor Sports mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 14’08:490s. Dengan berakhirnya pusingan kesembilan, Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing meraih juara keseluruhan bagi kategori CP150 dengan jumlah mata 157. Sepanjang musim ini sehinggalah ke pusingan kesembilan, Afif telah menaiki podium sebanyak enam kali termasuk tiga kemenangan di pusingan pertama, kedua dan kelapan.
Menurut Afif, “Saya bersyukur kepada Tuhan. Ini adalah rezeki saya untuk menjadi juara sekali lagi. Tidak lupa juga, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing yang telah bekerja keras dan krew-krew yang sentiasa mencari cara untuk jalan untuk memaksimakan prestasi jentera saya. Apa yang kita “target” telah dikecapi hari ini.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook