fbpx

TIDAK BERPUTUS ASA, PENGAJARAN PENTING BAGI ADAM

Musim ke-29 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah memaparkan aksi yang hebat di antara pelumba-pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang masing-masing telah tampil dengan persembahan yang mantap. Di antara mereka adalah Md Adam Haikal Jahar yang juga telah dinobatkan Juara kategori Wira KBS selepas tamatnya pusingan kesembilan.

Sepanjang musim ini, Adam kerap menaiki podium sehingga ia menjadi suatu fenomena yang biasa bagi kategori Wira KBS. Di setiap pusingan, perlumbaan kategori ini bertambah hebat dengan pencapaian Adam yang berakhir di atas podium. Walaupun hanya sekali meraih kemenangan pada pusingan ketujuh, Adam telah memaparkan kemahiran penguasan litar yang bagus dan tahap pemahaman yang mendalam terhadap jenteranya.

Persembahan Adam setakat ini telah memberikan beliau sebanyak 177 mata secara keseluruhan, melebihi rakan sepasukannya yang berada di tangga kedua sebanyak 26 mata. Pada musim lepas, Adam hanya sempat menamatkan perlumbaan 10-pusingan ini di tempat keenam secara keseluruhan. Beliau pada ketika itu berlumba untuk pasukan Wiramuda V-Fiertech Academy Racing.

Pada tahun ini dengan berpasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, potensi dan kaliber beliau diserlahkan lagi di bawah bimbingan dan dorongan pemilik dan pengurus pasukan, Sivanesan. Jika pada musim lepas, Adam hanya sempat menaiki podium sebanyak tiga kali, pada musim ini, beliau telah mengorak langkah sebanyak sembilan kali.

Menurut Adam, “Pencapaian saya pada tahun ini adalah paling tinggi dalam karier saya. Sememangnya perbezaan ini amat ketara berbanding dengan musim lepas. Pada musim ini, saya cuba kemahiran berlumba yang lebih lancar dengan penyelarasan yang baru. Selalunya, saya akan memberikan informasi kepada juru mekanik saya selepas sesi latihan bebas dan sesi kelayakan. Kemudian pelatih saya akan memberikan saya nasihat untuk mencari “setup” yang bersesuaian dengan kemahiran saya. Selama ini, strategi ini terbukti berkesan.”

“Bagi saya, cabaran utama saya bagi musim ini adalah pelumba Honda iaitu Farid Hakimi dan Farish Iqmal yang telah memberikan saingan yang cukup hebat dalam setiap perlumbaan. Namun begitu, dengan berbekalkan pengalaman dan juga dengan dorongan keluarga saya terutamanya ayah saya telah membantu saya mencapai kejayaan ini.”

Untuk tahun depan, Adam berkata, “Pelan saya pada musim depan adalah untuk berlawan dengan pelumba yang lebih berpengalaman di kategori CP125. Saya akan teruskan latihan fizikal dan mental yang amat diperlukan untuk mencapai hasrat saya. Pengajaran saya yang paling penting pada musim ini adalah untuk tidak mengalah dan untuk mencuba dengan sedaya upaya. Usaha yang tinggi amatlah penting untuk mencapai apa yang diingini.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook