fbpx

DUO “A” CKJ RACING CEMERLANG DI LAMAN SENDIRI


Gandingan dua pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran dan Md Akid Aziz mempamerkan aksi cemerlang pada saingan CP150 Pusingan Ketujuh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix telah berlangsung di Litar Permotoran Terengganu hari ini. Mereka sekali lagi meraih kemenangan 1-2 seperti yang mereka lakukan pada Pusingan 6 yang lalu.

Di sesi “Super-Pole” pada tengah hari tadi, Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing team mencatatkan masa terpantas pada 48’671s diikuti oleh rakan sepasukannya Afif dengan catatan masa terpantas pada 48’760s. Di petak grid ketiga adalah Faiz Zekri dari pasukan GIVI Tekhne Yamaha dengan catatan masa terpantas pada 48’886s.

Perlumbaan bermula dengan Afif di kedudukan P1 diikuti oleh rakan sepasukannya, Akid di P2. Di P3 adalah Faiz. Sebelum berakhirnya lap kedua, Akid memintas Afif. Di P4, Iqbal cuba mendekati Faiz sebelum di pintas oleh Izzat.  Di lap kelima, Izzat membuka langkah untuk memintas Faiz dan berjaya ke P3. Sementara itu, pelumba-pelumba sepasukan yang berada di hadapan meneruskan perlumbaan secara konsisten. Walaupun Afif memberikan tekanan kepada Akid, Akid tidak mengalah dan tampil dengan strategi yang mantap untuk mengekalkan kedudukannya.

Di P4, Faiz cuba menutup jurang dengan Izzat tetapi Haziq di P5 memintas Faiz sebelum terjatuh. Kasma di lap 5 mula mengejar Faiz sebelum memintasnya. Tujuh lap lagi untuk menamatkan perlumbaan, Akid dan Afif masih di kedudukan yang sama dengan jurang 0.084s. Kasma mula mendekati Izzat di lap ke-15 dan berjaya memintasnya dari dalam di selekoh pertama. Izzat mengalami masalah jentera dan tidak dapat menamatkan perlumbaan. Di lap terakhir, Afif teruskan saingannya dengan Akid sebelum membuka langkah untuk memintas dari dalam. Akid hampir hilang kawalan tetapi berjaya mengawal jenteranya. Afif meneruskan perlumbaan sebelum menamatkannya di kedudukan pertama pada 16’20:549s.

Menurut Afif, “Cabaran pada perlumbaan ini adalah persaingan sengit daripada rakan sepasukan saya. Akid memang mempunyai “pace” yang sangat kuat pada perlumbaan tadi. Saya cuba ikuti dia dari lap pertama sehingga ke lap kedua terakhir sebelum memintas, di selekoh sebelah kiri. Rancangan saya memang untuk mendapat tempat pertama maka saya mengatur strategi yang betul dan Syukur, strategi tersebut berjaya. Litar ini adalah antara trek kegemaran saya. Ia adalah trek yang kecil tetapi “high-speed” turn. Itu memberikan cabaran kepada semua pelumba untuk mempunyai “setup” yang lebih baik dari segi suspension. Saya amat puas hati minggu ini dan gembira kerana sepanjang hujung minggu ini, pasukan kami telah menunjukkan suatu pencapaian yang baik dan positif.”

Rakan sepasukannya, Md Akid Aziz menamatkan perlumbaannya di kedudukan kedua dengan catatan masa 16’21:313s.

Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 16’27:926s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,