fbpx

HARITH HAZIQ INGIN REBUT GELARAN JUARA

Harith Haziq Zamri berhasrat untuk mencabar sekaligus merebut gelaran Juara Keseluruhan dalam saingan kelas Wira KBS musim ini

Harith Haziq Zamri berhasrat untuk mencabar sekaligus merebut gelaran Juara Keseluruhan dalam saingan kelas Wira KBS musim ini. 

Beliau agak tenggelam pada 3 pusingan pembukaan dengan dominasi pelumba-pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha 31 – Racing. Harith mula melaungkan amaran awal apabila menjejakkan kaki ke pentas podium pada Pusingan keempat di tempat kedua sekaligus memecah dominasi pasukan tersebut.

Pelumba Castrol Power1 Honda Team ini kemudian terus mempamerkan tunggangan cemerlang apabila menyapu bersih kemenangan Pusingan 5 dan 6 di Kuala Terengganu untuk kini mengumpul 99 mata, 8 mata di belakang pendahulu keseluruhan.

Kemenangan berganda di Litar Permotoran Terengganu itu kembali membuka peluang buat Harith Haziq untuk memburu gelaran Juara Wira KBS musim ini.

Keputusan pada 3 pusingan terkini itu merupakan keputusan terbaik yang pernah dicatat Harith sejak dua musim bersama pasukan ini. Beliau menyimpan keyakinan untuk memberi saingan merebut kejuaraan yang kini terbuka.

“Saya akan buat sehabis kemampuan saya dan akan cuba kutip mata sebanyak mungkin pada perlumbaan hujung minggu nanti. Insyaallah kalau ada rezeki, tahun ini matlamat saya adalah merebut gelaran juara Wira KBS walaupun sedar saingan sengit daripada pelumba lain,” kata beliau.

Pelumba asal Selangor itu turut memberitahu beliau kini menumpukan kepada latihan kecergasan bagi mengekalkan stamina bagi perlumbaan Pusingan 7 dan 8 Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Oktober nanti di Litar Lumba Tangkak.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook