fbpx

BERAKSI SELAKU JUARA BERTAHAN, TEKANANNYA BERBEZA – AFIF AMRAN

Menjuarai satu acara atau kejuaraan ialah satu perkara yang tidak mudah dan perjalanannya memang sukar tetapi adakah kita sedar adanya satu lagi yang lebih sukar berbanding memenangi satu-satu saingan? Ya, mempertahankan gelaran itu lebih sukar dan cabarannya lebih hebat…

Apabila seseorang pelumba itu juara bertahan, harapan terhadapnya setinggi langit. Apabila mereka melangkah ke musim baru, mereka biasanya akan menjadi kegemaran…Apa yang mereka akan mendengar  adalah perkara yang menonjolkan harapan yang tinggi seperti, “Awak HARUS mengulangi kejuaraan SEKALI LAGI!” Situasi sebegini sudah pastinya memberi tekanan kepada setiap pelumba tanpa mengira kelas mana untuk memastikan mereka tidak melakukan kesilapan.

Di luar sana, seruan peminat, di atas litar setiap pencabar dengan keinginan untuk merampas takhtanya, IA BUKAN MUDAH!

Realitinya, ia adalah sukar untuk mengulangi kejayaan bagi mengekalkan takhta yang dimiliki. Begitu juga buat pelumba Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Afif Amran yang kini beraksi di kelas CP150.

“Tipu lah kalau saya cakap tiada tekanan. Tekanan itu memang ada tetapi saya tidak mahu terlalu fikir tentang gelaran buat masa ini. Saya hanya mahu fokus pada setiap pusingan dan mengumpul mata semaksimum mungkin. Saya mulakan musim ini agak baik apabila menamatkan saingan di atas podium tetapi saingan di pusingan kedua dan ke-empat tidak memihak kepada saya.

“Pusingan kedua di Litar Jempol. Litar ini agak terkenal sebagai litar teknikal dan pada masa yang sama juga jentera saya ada isu teknikal lalu saya tidak dapat menamatkan perlumbaan.. dah DNF.. memang kecewa tetapi ia adalah adat perlawanan dan prinsip perlumbaan. Apa sahaja yang tak dijangka boleh berlaku. Jadi, saya mengambil ia sebagai satu iktibar dan pasukan saya juga telah bertungkus lumus untuk menyediakan semula jentera saya.

“Pusingan ke-empat pula nasib tidak menyebelahi saya, hanya dapat mengakhiri perlumbaan tempat ke-12, beberapa kesilapan di atas trek menjadi puncanya. Jika saya tidak mengalami kekecewaan di dua pusingan ini mungkin saya berada di hadapan kelas CP150 dan mungkin tidak tersasar dari landasan mempertahankan gelaran tetapi ia bukan mustahil.

“Apapun buat masa ini saya tidak mahu berfikir tentang gelaran juara. Kami masih ada lagi empat perlumbaan. Jadi, fokusnya pada setiap pusingan tetapi dari segi pasukan kami masih mendominasi kelas CP150. Akid mendahului carta manakala saya berada di kedudukan ketiga dan Izzat Zaidi di belakang saya. Jadi, kami akan cuba yang terbaik.”

Saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS dijadual memasuki pusingan ke-tujuhnya di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Terengganu menjadi venue istimewa buat pelumba berusia 28 tahun itu. Beraksi di laman sendiri, Afif, menyifatkan berlumba di Litar Pantai Timur itu sentiasa mencetuskan rasa semangat luar biasa untuk berlumba.

“Beraksi di halaman sendiri memang beri semangat yang lain dari lain.. dengan sokongan keluarga, jiran, peminat terutamanya kawan-kawan yang sebelum ini tidak dapat hadir ke litar luar Terengganu. Jadi, setiap kali ada saingan di laman sendiri sokongan dan sorakan kawan-kawan yang selalunya menjadi kelebihan buat setiap pelumba dan sama juga bagi diri saya sendiri.

“Bagi pusingan Seterus saya menyasarkan untuk menamat perlumbaan di ‘Top 5’ dan saya juga mengharapkan podium laman sendiri. Insyallah saya akan buat yang terbaik dan yang paling utama saya nak menghabiskan perlumbaan tanpa ada apa-apa isu.” jelas Afif.

Pada musim lalu, Afif meraih gelaran Juara kelas CP150 dengan merampas takhtanya dari pelumba Boon Siew Honda Racing, Azroy Hakeem Anuar dan sudah pastinya kali ini, Azroy yang kini berada di kedudukan kedua dengan mata yang tidak jauh beza dari pendahulunya ingin merampas semula gelaran musim 2023.

Dengan masing-masing memburu mata untuk memperkukuhkan lagi kedudukan, Afif menjangkakan satu saingan yang cukup sengit di Litar Permotoran Terenggan minggu ini.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook