fbpx

ADIB HEBAT DI LITAR BASAH


Pusingan Kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bermula hari ini di Kompleks Sukan Permotoran Tangkak. Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mencatatkan masa terpantas hari ini di sesi kelayakan bagi kategori Wira KBS.

Pada pagi tadi di sesi latihan bebas, pelumba-pelumba sepasukan, Estremo Yamaha 27 Racing, Emil dan Iqram Danish mencatatkan masa terpantas dan kedua terpantas, masing-masing pada 47’009s dan 47’240s. Di tempat ketiga terpantas adalah Adib Hareez dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 47’603s. Di sesi latihan bebas 2 tengah hari tadi, Emil sekali lagi mencatatkan masa terpantas pada 47’001s. DI tempat kedua terpantas adalah Akif dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa terpantasnya pada 47’318s. Di tempat ketiga adalah Iqram Danish dengan catatan masa terpantas pada 47’392s.

Di sesi kelayakan tadi, Adib Arsyad telah membuktikan kemahiran pengendalian jentera di litar basah apabila beliau mencatatkan masa terpantas pada 51’023s. Pada musim lepas, Adib yang telah menyertai kategori Yamaha PETRONAS Super Series mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan pada 51’864s. Walaupun beliau masih baru di kategori Wira KBS, Adib telah menunjukkan suatu pencapaian yang agak baik pada hari ini di litar ini. Adib kini menduduki tempat kelapan dengan jumlah sebanyak 67 mata.

Menurut Adib, “Saya tidak menjangkakan masa lap terpantas pada hari ini. Pasukan saya memang telah menyediakan jentera yang bagus untuk pusingan ini dan saya agak berterima kasih untuk itu. Walaupun litar agak basah tadi semasa sesi kelayakan, saya cuba juga untuk kawal jentera sebaik mungkin dan untuk mendapatkan lap masa yang baik untuk perlumbaan esok.”

Di tempat kedua terpantas adalah Firdaus Effendy dari pasukan AS25 Honda Racing Team dengan catatan masa terpantas pada 51’042s.

Md Akif mencatatkan masa ketiga terpantas dengan catatan masa pada 51’151s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,