fbpx

GELARAN JUARA SEMAKIN HAMPIR


Sukan permotoran di Malaysia taklah sepopular bola sepak. Tapi, sejak Hafizh Syahrin menjadi pelumba Malaysia pertama dan beberapa lagi pelumba melakar nama di pentas dunia apabila layak ke Kejuaraan Dunia Motosikal, MotoGP, ianya dah membuka mata ramai pihak.

Bak kata pepatah cendawan tidak tumbuh tanpa hujan dan pokok, bakat tidak akan tampil tanpa sokongan dan platform yang betul. Bagi pelumba Malaysia pula, Kejuaraan Malaysian Cub prix menjadi platform tersebut untuk mekar dan menyinar di persada dunia.

Sukan dua roda ini terutamanya Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bukan sahaja mempamerkan bakat mereka tetapi ia juga meningkatkan jati diri setiap satu pelumba untuk membawa dirinya lebih ke depan.

Dalam saingan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, kelas CP150 merupakan kelas elit yang membuatkan setiap pelumba yang menjejaki peringkat asas merebut slot untuk beraksi. Setiap tahun dengan drama yang berbeza, semua peminat sukan permotoran tanah air akan menunggu untuk mengetahui siapakah bakal menjadi Raja CP150. Pusingan ke-sembilan yang selalunya dinanti-nantikan untuk penobatan juara keseluruhan.

Musim ini lebih istimewa apabila Raja CP150 bukan hanya akan digelar juara keseluruhan tetapi juga juara edisi yang cukup bermakna, edisi yang meraih usia 3 DEKAD!

Sedikit mengimbas kembali, lapan pusingan musim 2023…

Berbaki lagi dua pusingan, lapan pusingan awal menyaksikan tujuh pemenang podium pertama yang berbeza dengan hanya juara bertahan, Mohd Afif Amran, memenangi dua kali pada pusingan ke-enam dan ke-tujuh. Ini membuktikan saingan musim ini cukup sengit dan sihat dalam pada masa yang sama. Masing-masing merebut untuk meraih gelaran sejak awal musim lagi, pusingan ke-9 mungkin akan kita ketahui jawapan SIAPAKAH RAJA CP150 minggu ini.

Jika kita lihat kedudukan semasa, pendahulu carta kelas CP150, pelumba Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz, hanya perlu meraih kemenangan podium tempat kedua untuk dinobat juara musim 2023. Ikut jangkaan ‘admin’, jika Akid terlepas juga di pusingan minggu ini di Litar Tangkak, pelumba ibu kota itu masih selesa di hadapan.

“Bismillah” itu sahaja ungkapan Akid menjelang saingan minggu ini.

“Ini adalah peluang saya untuk fight kejuaraan. Saya akan berikan segala keringat dan usaha yang perlu diberi, selainnya saya serahkan kepada Yang Maha Berkuasa, kita harap yang terbaik minggu ini.”

Manakala Juara bertahan kita, Mohd Afif Amran yang juga akan sepasukan Akid, optimis dua pusingan terakhir ini akan menjadi saingan yang cukup menarik.

“Saya tidak mahu terlalu terfikir tentang mempertahankan gelaran. Mungkin ia rezeki Akid kali ini, kami adalah dari satu pasukan, kemenangan dia akan menjadi kemenangan pasukan. Apa-apa pun, Insyallah, kami akan buat yang terbaik,” katanya Afif.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook