Setelah sebelas tahun bertungkus-lumus, Mohd Adib Rosley akhirnya berjaya menggalas gelaran Juara CP125 di Pusingan 9 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Sepang Selatan minggu ini.
Persaingan yang cukup rapat dalam kategori CP125 bermula dengan Mohd Harith Farhan Baharin dari Tuneboss Pink Racing di petak pertama. Namun, Harith hanya mampu bertahan di kedudukan pendahulu selama satu lap, sehingga dipintas oleh Mohd Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada lap kedua.
Syafiq mendahului selama tiga lap, tetapi menghadapi tekanan sengit dari rakan sepasukannya sendiri, Mohd Aliff Danial Mohd Asri.
Di belakang dua pelumba Maju Motor tersebut, duo pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team – Mohd Fareez Afeez abd Rahman dan pendahulu kejuaraan Mohd Adib Rosley, mula mengorak langkah.
Dua lap sebelum tamat perlumbaan, Fareez berjaya menempatkan diri di kalangan tiga pelumba teratas. Pada lap terakhir, Fareez membuat kejutan apabila sempat memintas dua pelumba di hadapan dan berjaya menduduki tempat pertama dengan catatan masa 12’39.734s
Mohd Syafiq Rosli terpaksa berakur di tempat kedua manakala tempat ketiga jatuh ke tangan Mohd Harith Farhan Baharin.
Pendahulu kejuaraan, Mohd Adib Rosley, menamatkan perlumbaan di tempat ke-enam. 10 mata kejuaraan yang diperolehi oleh Adib di Pusingan 9 sudah memadai untuk mengesahkan status Adib sebagai Juara CP125 musim 2021.
Pada masa yang sama, keputusan ini turut mengesahkan status pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team sebagai Juara Pasukan CP125.
“Pada perlumbaan tadi, saya hanya ingin berlumba secara selamat dan tidak mahu mengambil risiko yang terlalu tinggi. Terutama sekali apabila saya mengetahui bahawa Hafiza menghadapi masalah teknikal,” jelas Adib.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook