Md Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinuta Yamaha – 31 Racing mendapat tempat pertama bagi kategori Wira KBS di pusingan kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan).
Perlumbaan petang tadi bermula dengan Farish Iqmal dari Honda KC Racing di petak grid pertama selepas sesi “Shoot Out” pagi tadi manakala Syamil yang telah mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan mengambil petak keenam di grid. Adam yang kini mendahului carta kedudukan bermula di petak grid kelima.
Sejurus bermulanya perlumbaan, Syamil dengan segera mengambil kedudukan di P1. Pada akhir lap pertama, pelumba-pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing telah mengambil tiga tempat teratas dengan Syamil di kedudukan P1, Amirun di P2 diikuti oleh Adam di P3. Namun begitu, di lap kedua, Syamil dipintas oleh rakan sepasukannya Amirun tetapi Syamil sempat menyambar
dengan pantas.
Dua lap seterusnya, perlumbaan bertambah sengit dengan trio sepasukan masing-masing mencari peluang untuk mara ke depan. Pada akhir lap keenam, Amirun berjaya memintas Syamil sekali lagi. Dalam pada itu, Adam juga mendapat peluang untuk ke P2 manakala Syamil pula mengambil P3.
Pada lap terakhir, pelumba-pelumba sepasukan kelihatan lebih bersemangat untuk mengekalkan kedudukan mereka yang akan memberikan sumbangan mata tertinggi bagi pasukan mereka. Dengan itu, Md Amirun Haziq Johan menamatkan perlumbaannya terlebih dahulu dengan catatan masa
9’50:298s.
Menurut Amirun, “Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan saya kerana memberikan saya jentera yang bagus. Perlumbaan tadi sememangnya sengit dan saya tidak mempunyai sebarang matlamat kecuali keinginan untuk buat yang terbaik.”
Di tempat kedua adalah Md Adam Haikal Jahar dengan catatan masa 9’50:339s. Dengan ini, Adam juga digelar juara keseluruhan bagi musim ini. Pada musim ini, Adam telah menaiki podium di setiap pusingan dengan satu kemenangan. Jumlah mata Adam adalah sebanyak 177.
Menurut Adam, “Saya berterima kasih kepada pasukan saya yang telah memberikan jentera yang paling mantap pada perlumbaan ini. Pada perlumbaan tadi, saya cuba kekalkan kedudukan saya dan cuba kuatkan semangat saya untuk terus berada di hadapan.”
“Bagi saya, musim ini agak mencabar tetapi saya cuba juga buat yang terbaik.”
Md Syamil Amsyar Md Iffende menamatkan perlumbaannya di tempat ketiga dengan catatan masa 9’50:398s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook