fbpx

ZAQHWAN KEMBALI KE CUB PRIX


Juara CP130 2014, Md Zaqhwan Zaidi yang juga merupakan juara Asia katergori SuperSports 600cc musim 2014 dan 2016 akan kembali mewarnai kancah saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2019 yang akan membuka tirai Mac ini.

Ianya disahkan sendiri oleh prinsipal pasukan Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini selepas bekas pelumba MotoGP negara itu mengumumkan senarai penuh barisan pelumbanya yang akan membawa cabaran musim 2019.

“Ia merupakan berita gembira bukan saja buat pasukan, malah buat peminat yang merindui aksi bertenaga beliau. Kami harap pengalaman yang dimilikinya akan membantu pasukan untuk kembali digeruni dan meletakkan pasukan di atas podium sepanjang musim ini,” jelas Shahrol Yuzy.

Zaqhwan akan bergandingan bersama pelumba muda meningkat naik, Azroy Hakeem Anuar dan juara WIRA 2015, Harith Farhan Baharin.

Zaqhwan tidak beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix musim 2018 apabila membuat keputusan untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap saingan Kejuaraan Seluruh Jepun dalam kategori 1000cc dan juga Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Nama Zaqhwan disebut-sebut bakal kembali ke Cub Prix sebagai pelumba gantian pada penghujung musim lepas namun beberapa kecederaan yang dialami pelumba itu menyaksikan hasrat tersebut tidak kesampaian.

Untuk rekod, Zaqhwan dan Azroy merupakan dua pelumba yang berjaya menghadiahkan podium buat kem Honda sejak saingan CP150 diperkenalkan pada musim 2017.

Zaqhwan muncul pemenang tempat ketiga sewaktu pusingan pembukaan musim 2017 di Temerloh manakala Azroy juga menaiki podium di tempat ketiga pada pusingan kesembilan di Jempol, Negeri Sembilan musim lepas.

, , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *