YAM RACING SEDIA REDAH UJIAN

Dunia perlumbaan sering diwarnai detik gemilang, namun tidak kurang juga ujian yang menguji kekuatan mental dan semangat sepasukan. Bagi IDEMITSU HONDA YAM RACING, musim ini menjadi antara yang paling mencabar apabila ketiga-tiga pelumba utamanya, Md Haziq Md Fairues dan Md Adib Rosley, serta Md Fadlyshah Redzua berdepan kecederaan.

Namun, walaupun dihimpit cabaran besar, pasukan ini tidak tunduk pada nasib. Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) menjadi pentas untuk mereka membuktikan bahawa semangat juang yang tulen tidak mudah luntur.

Pengurus pasukan, Ridwan Bakri, mengakui situasi ini bukan mudah, namun percaya setiap pasukan perlu bersedia dari semua aspek.

“Dalam perlumbaan, risiko kecederaan adalah sesuatu yang boleh berlaku pada mana-mana pasukan. Namun, kami sentiasa bersedia dari setiap sudut, sama ada dari segi teknikal, strategi mahupun mental. Itu prinsip kami,” kata Ridwan.

Menyentuh tentang keadaan semasa pelumba, Ridwan memberitahu perkembangan yang sedikit melegakan.

“Setakat ini, keadaan Haziq dan Adib semakin baik dan berkemungkinan dapat kembali beraksi di Pusingan 6. Namun, Fadly masih memerlukan masa untuk berehat secukupnya kerana beliau baru sahaja menyertai pasukan dan kami mahu dia pulih sepenuhnya sebelum kembali ke trek,” ujarnya.

Bagi persiapan menghadapi perlumbaan hujung minggu ini, Ridwan menegaskan pendekatan mereka kekal konsisten seperti pusingan-pusingan sebelumnya.

“Persiapan kami berjalan seperti biasa. Kami akan terus mencari pelarasan motosikal terbaik, menganalisis data dari pusingan lepas, dan memperbaiki segala kekurangan. Tiada istilah putus asa dalam pasukan kami,” katanya.

Ditanya siapa yang bakal menggalas tugas di trek sekiranya pelumba utama belum cergas sepenuhnya, Ridwan menjelaskan, “Kami sudah ada pelumba yang bersedia sejak awal musim. Mereka memahami hala tuju pasukan dan tahu cabaran yang bakal dihadapi. Saya yakin mereka mampu memberikan saingan,” tambahnya.

Dalam situasi getir ini, semangat berpasukan menjadi tonggak utama IDEMITSU HONDA YAM RACING.

“Tahun ini bukan mudah bagi kami. Pelbagai dugaan telah berlaku, namun kami tidak mudah goyah. Sebagai satu pasukan, kami bekerja keras, saling menyokong dan kekal fokus. Semangat itu yang kami akan membawa ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang minggu ini,” tegas Ridwan.