IZAM BURU HATRIK DI SEPANG

Lima pusingan telah pun melabuhkan tirainya namun aura kebangkitan Md Izam Ikmal Izamli daripada pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING terus membara menjelang Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) hujung minggu ini.

Pelumba berusia 23 tahun itu kini gah mengungguli kedudukan keseluruhan CP125 selepas mempamerkan prestasi konsisten, termasuk kemenangan di Pusingan 5 di Terengganu, kemenangan keduanya berturut-turut musim ini.

Lebih manis, arena Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) bakal mengembalikan memori indah buat Izam apabila beliau turut memenangi perlumbaan di litar itu musim lalu. Tidak hairanlah tumpuan kini terarah kepadanya untuk mengejar hatrik kemenangan, satu misi yang sama sekali bukan mustahil buat pelumba berbakat besar itu.

“Di sebalik kejayaan saya, keluarga kecil saya adalah kekuatan utama. Mereka yang sentiasa meniup semangat saya untuk terus melangkah ke hadapan,” ujar Izam penuh rasa syukur tatkala ditanya mengenai pengorbanan besar di sebalik kejayaan terbarunya.

Mengulas mengenai aksi luar biasanya di Litar Permotoran Terengganu, Izam menjelaskan litar mencabar itu secara tidak langsung menjadi ‘padang permainan’ kegemarannya.

“Litar Terengganu memang mencabar, tetapi ia salah satu litar kegemaran saya. Dari situlah saya ada sedikit kelebihan berbanding pelumba lain,” katanya.

Tatkala sorakan penyokong semakin lantang mengharapkan kemenangan ketiga berturut-turut, Izam kekal merendah diri, menyifatkan hatrik bukan satu keutamaan jika podium turut menjanjikan mata penting kejuaraan.

“Kalau ada rezeki hatrik, saya memang mahukan. Tapi kalau terlalu berisiko, saya akan cuba untuk terus berada di podium, kerana itu lebih penting,” jelas Izam.

Menjelang perlumbaan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan), Izam mengakui tekanan mempertahankan kemenangan di litar itu tetap ada, namun segala-galanya perlu dilunaskan dengan langkah bijak dan tidak terburu-buru.

“Di Sepang, kita tidak boleh yakin 100 peratus. Litar ini besar dan semua pelumba berpeluang untuk menang. Saya cuma akan sasarkan posisi terbaik yang mampu saya capai,” katanya.

Berkongsi mengenai gaya perlumbaan, Izam mendedahkan beliau bukanlah jenis yang terlalu bergantung kepada keputusan spontan semata, sebaliknya memastikan segala perancangan awal berada pada tempatnya.

“Semua bermula dengan pelan. Tapi kalau tak jadi seperti dirancang, di situlah naluri saya akan ambil alih. Kalau ada rezeki, insya-Allah saya akan cuba ambil peluang itu.”

Baginya, tekanan bukan musuh, sebaliknya pencetus semangat untuk terus membuktikan kemampuan.

“Saya bukan orang yang cepat mengalah. Bila saya gagal mencapai keputusan baik, saya akan mencari motivasi sendiri untuk bangkit semula.”