Menjelang pembukaan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix musim 2026 pada April ini, VOGE RACING TEAM tampil dengan pendekatan yang berbeza berbanding musim sulung mereka tahun lalu. Musim 2025 menjadi medan pembelajaran dan pengumpulan data, musim baru ini pula menandakan peralihan jelas daripada fasa pembangunan kepada misi memberikan saingan sebenar di kumpulan hadapan.
Musim lalu menyaksikan kali pertama VOGE RACING TEAM membuat penampilan dalam kejuaraan ini. Walaupun berstatus pasukan baharu, mereka dipacu oleh gabungan pengalaman dan visi jangka panjang, diketuai oleh prinsipal pasukan, Azlan Shah Kamaruzaman, yang juga merupakan bekas pelumba kebangsaan berpengalaman di pentas dunia. Bersama barisan pelumba, pasukan ini bermula dari sifar untuk memahami dan membangunkan jentera Voge di peringkat perlumbaan.
Ditubuhkan pada 2018, jenama Voge melancarkan model Voge FR150 (Formica Rossa) pada Mei 2024 sebelum dibawa masuk ke Malaysia dan diuji di pentas kompetitif melalui Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025. Sepanjang musim sulung itu, fokus pasukan tertumpu kepada mengumpul data, menyesuaikan pelumba dengan jentera baharu, serta memperhalusi prestasi motosikal secara berperingkat.
Kini, memasuki musim kedua, hala tuju VOGE RACING TEAM semakin tersusun.
Menurut Azlan, pasukan telah memulakan latihan awal dengan tumpuan yang lebih spesifik dan teknikal.
“Fokus utama kami ketika ini adalah untuk memastikan jentera berada dalam keadaan terbaik, khususnya dari segi prestasi enjin untuk jarak perlumbaan, penghantaran kuasa yang lebih lancar, serta tetapan suspensi yang lebih baik berbanding tahun lalu. Sasaran kami adalah untuk menjadikan motosikal lebih mudah dikawal dan lebih stabil. Ini baru sesi ujian pertama, dan kami akan terus menguji aspek suspensi serta nisbah gear dalam sesi seterusnya.”
Perbezaan pendekatan musim ini jelas ketara, terutama dari segi sasaran.
“Tahun ini, kami mensasarkan untuk memberi saingan. Musim lalu kami lebih menumpukan kepada pengumpulan data dan memahami motosikal. Tetapi musim ini, sasaran kami adalah untuk bersaing di kelompok hadapan dan memburu kedudukan podium.”
Azlan mengakui musim pertama dipenuhi cabaran, namun dalam masa yang sama, peningkatan tetap berlaku secara berperingkat.
“Jika dibandingkan dengan tahun lepas, memang kami bergelut, tetapi dalam masa yang sama kami juga sentiasa meningkat. Dua perkara itu berlaku serentak. Dalam tempoh setahun, kami berjaya mengumpul banyak data dan menambah baik motosikal serta enjin.”
Sebagai pasukan yang kini memasuki tahun kedua, peningkatan itu semakin dirasai.
“Tahun ini adalah tahun baharu dan tahun kedua untuk pasukan. Kami berusaha untuk melakukan sesuatu yang jauh lebih baik berbanding keputusan musim lepas.”
Peranan pelumba turut menjadi elemen penting dalam fasa pembangunan ini.
“Setakat ini, kami masih menggunakan pelumba yang sama dan turut menguji seorang pelumba baru. Pelumba-pelumba sedia ada banyak membantu dari segi pembangunan motosikal. Mereka sudah biasa dengan karakter jentera Voge dan lebih mudah menyesuaikan diri. Ini satu peningkatan yang sangat positif, bukan sahaja untuk pelumba tetapi juga untuk keseluruhan pasukan.”
Menjelang sesi latihan seterusnya, fokus pasukan bukan sekadar kepada jentera, tetapi juga kepada pembangunan pelumba secara menyeluruh.
“Untuk latihan akan datang, kami mahu meningkatkan tahap pelumba supaya menjadi lebih agresif dan lebih yakin di atas motosikal. Kami akan memperbanyakkan latihan bersama, termasuk latihan motocross. Perancangan kami untuk musim ini memang padat, jadi lihat sahaja nanti perkembangan AS25 Academy.”
Dengan asas yang lebih kukuh, hala tuju yang jelas, serta sasaran yang tidak lagi berselindung, VOGE RACING TEAM kini melangkah ke musim 2026 dengan keyakinan baharu. Daripada pasukan yang bermula dengan misi pembelajaran, mereka kini bersedia untuk mengubah naratif. Podium, mungkin?

