Menjelang pembukaan musim Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026, seorang lagi bakat muda bersedia mencabar dirinya di pentas yang lebih kompetitif. Adam Ahmad Saidi bakal memulakan lembaran baharu dalam kariernya apabila disahkan menyertai PETROLPENN Mctajam SMR Racing bagi saingan kategori CP125.
Penyertaan ini bukan sahaja menandakan langkah besar buat Adam, malah menjadi detik penting buat pasukan tersebut. Untuk musim 2026, PETROLPENN Mctajam SMR Racing membuat keputusan berani untuk membawa cabaran mereka ke kategori CP125, di mana sebelum ini memberi tumpuan utama kepada kategori PETRONAS SPRINTA PRO-AM CUP.
Bagi Adam sendiri, musim baharu ini hadir bersama cabaran yang lebih besar. Selepas beraksi dalam kategori HONDA RS-X ONE MAKE CHALLENGE, pelumba muda itu kini melangkah ke kelas CP125, sebuah kategori yang terkenal dengan persaingan sengit serta barisan pelumba berpengalaman.
Walaupun sedar akan tahap persaingan yang menantinya, Adam kekal tenang dan fokus terhadap persiapan menjelang musim baharu.
“Persiapan saya untuk musim ini adalah memastikan tahap kecergasan berada pada tahap terbaik. Saya memberi fokus kepada latihan fizikal yang konsisten supaya dapat mengekalkan prestasi sepanjang perlumbaan,” katanya.
Menurut Adam, perubahan kategori ini menuntut penyesuaian yang lebih besar, bukan sahaja dari segi kelajuan jentera tetapi juga dari aspek strategi perlumbaan dan pengalaman di litar.
“Sebelum ini saya berlumba dalam kategori HONDA RS-X ONE MAKE CHALLENGE. Jadi melangkah ke CP125 memang satu cabaran baharu yang besar untuk saya. Selain itu, pasukan kami juga pertama kali bersaing dalam kategori ini, jadi kami sama-sama sedang belajar dan menyesuaikan diri.”
Walaupun berdepan fasa pembelajaran, Adam tetap menunjukkan keyakinan bahawa kerja keras pasukan mampu membawa peningkatan sepanjang musim.
“Saya tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi untuk musim ini. Bagi saya, jika dapat menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik, itu sudah satu pencapaian yang sangat baik. Yang penting, saya mahu terus meningkatkan prestasi dari satu pusingan ke satu pusingan.”

