Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor berakhir pada petang tadi. Saingan perlumbaan CP150 menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz mengesahkan kemenangan bagi Pusingan 7 musim ini.
Di sesi “Super-Pole” pagi tadi, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz mencatatkan masa terpantas 43:350s sekaligus mengambil kedudukan grid pertama perlumbaan akhir. Di grip kedua adalah Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dari HONDA ESTREMO YUZY RACING yang mencatat masa terpantas 43:452s diikuti Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR dengan catatan masa 43:567s di petak ketiga.
Permulaan perlumbaan akhir tadi, Kasma dan Syazras pantas memecut ke hadapan untuk memimpin kumpulan, diikuti Akid dan rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran di P4.
Pada pusingan ke-3, Akid memintas kedudukan Kasma di P1 dan terus meningkatkan kelajuannya. Syazras dan Afif turut memintas kedudukan Kasma untuk merebut P2.
Pada pusingan ke-15, Kasma dari P4 terus mencari ruang dan berjaya memintas Syazras dan Afif di P2 namun kembali ke P4 akibat terjatuh.
Akid memenangi perlumbaan dengan catatan masa 14’33:374s.
Akid berkongsi, “Minggu ini kami mengalami beberapa kesukaran sejak hari Sabtu. Walaupun hari ini tidak seteruk sebelumnya, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki supaya saya dapat menunggang dengan lebih yakin. Alhamdulillah, saya tidak menyangka akan meraih tempat pertama, kerana pada permulaan perlumbaan saya menghadapi cabaran besar untuk memimpin. Di pertengahan dan akhir pusingan, motor saya mengalami masalah dan terdapat risiko terjatuh. Namun, saya bersyukur dan berbesar hati kerana akhirnya dapat memenangi perlumbaan hari ini.”
Afif mengambil tempat kedua dengan catatan masa 14’37:813s.
Di tempat ketiga adalah Syazras dengan catatan masa 14’38:478s.

