fbpx

TIGA MUSIM SUDAH BERLALU, SASARAN TETAP SAMA – MD ARASH FIRDAUS

Setiap pelumba yang menjejaki dunia sukan permotoran, masing-masing memasang impian untuk melebarkan sayap ke tahap yang lebih tinggi, secara berperingkat. Semua mahu beraksi di kategori elit, menjejaki Asia dan mahupun menakluki medan antarabangsa. Cuma, laluan dan rintangan masing-masing adalah berbeza.

Yang penting, MINAT dan TIDAK MUDAH PUTUS ASA!

Apabila sudah timbul minat di dalam diri maka semuanya akan menjadi. Bak kata orang sekali jatuh cinta selama-lamanya kita akan jatuh cinta.

Begitu juga segelintir pelumba-pelumba tempatan  yang sanggup mengeluarkan dana sendiri untuk merealisasikan impian mereka tanpa menghirau berapa lama tempohnya akan mengambil untuk menjadikan impian itu satu kenyataan, dengan risikonya sekali.

Salah seorangnya Md Arash Firdaus yang kini beraksi dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup dalam saingan berprestij Malaysian Cub Prix musim 2023.  Tiga tahun sudah berlalu, jejaka ini menyertai saingan Cub Prix di peringkat Pro-Am dengan keinginan untuk melebarkan sayapnya ke kategori elit, CP150 mahupun kelas CP125. Namun, keinginannya masih belum menjadi-jadi.

“Saya terjerumus dalam industri permotoran secara profesional adalah ketika saya umur 13 tahun iaitu pada tahun 2020. Sejak kecil lagi saya memang minat kelajuan. Idea untuk menyertai Cub prix tercetus kerana niat ibu bapa untuk mengelakkan saya daripada bergelumang dengan kegiatan lumba haram yang boleh membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya lain. Kedua-dua ibu bapa saya menunjukkan jalan yang betul jika yang bersungguh-sungguh untuk menceburi sukan ini.

“Di situlah mula perjalanan saya sebagai seorang pelumba tiga tahun lepas. Sejak saya menjejaki dunia ini, target utama saya untuk beraksi dalam kelas CP150 ataupun CP125. Namun saya tidak berjaya lagi, bukan sebab pasukan tidak melihat saya kea pa, tetapi prestasi saya sendiri. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dapat peluang beraksi di kelas elit, saya harus buktikan saya layak berada di sana.” Jelas Arash

Arash yang memulakan perjalanannya di medan Malaysian Cub Prix, mengharungi tiga musim yang cukup mencabar. Pada edisi sulungnya , Arash yang berjaya menduduki kelompok sepuluh terbaik tetapi tidak dapat meneruskan rentak kecemerlangan pada musim-musim seterusnya. Musim 2021 dan 2022 menyaksikan Arash melalui tempoh yang sukar apabila menempatkan diri dalam kelompok lima belas terbaik juga dilihat mustahil.

Jika, pelumba kelahiran Klang itu mudah putus asa tidaklah beliau kini mendominasi kelas Pro-Am pada penampilan kali ke-empat dalam kelas tersebut.

“Jatuh, jatuh, bangun… agak struggle juga untuk Arash naik balik di mana saya berada hari ini. Saya juga sedar akan kesengitan dan cabaran di peringkat kebangsaan. Bukan mudah dan apatah lagi jika mahu beraksi di peringkat lebih tinggi. Semua pelumba hebat-hebat. Bukan kaleng-kaleng, kita tak boleh nak pandang rendah melihat kepada kelas perlumbaan. Pro-Am mempunyai kelebihan dan kesengitan tersendiri. Jadi, banyak saya belajar di kelas Pro-Am. Pada masa yang sama, terima kasih juga kepada PETRONAS kerana banyak membantu kami dalam kelas ini.

“Bukan itu sahaja, kami juga sebagai privateer mempunyai cabaran dari segi kos, banyak pengorbanan juga perlu kami lakukan demi cinta yang mendalam terhadap sukan permotoran. Tetapi sesekali pun saya tidak pernah menyesal memilih bidang ini. Apa pun saya akan berikan terbaik dan usaha sejauh mana saya mampu untuk merealisasikan impian saya satu hari nanti.

“Usaha mampu membuahkan hasil dan ia pun sudah terbukti. Tiga musim saya struggle tapi tak pernah putus asa dan musim ini lebih baik berbanding sebelum ini. Hasilnya, sudah nampak, apa nak menyesal lagi kan. Sudah ada di atas, sekarang misinya untuk kekal di atas. Jurang mata antara saya dengan Syamil, hanya satu mata. Saya perlu elakkan lakukan kesilapan di pusingan Seterus dan mengutip mata semaksimum mungkin.

“Saya mahu pastikan gelaran juara keseluruhan menjadi milik saya. Dengan hasrat ini saya akan cuba yang terbaik di Litar Medini, minggu ini.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook