Kembali lagi ke Litar Lumba Tangkak untuk Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix!!
Selepas Pusingan 2 di Litar Lumba Tangkak, sudah tentu pelumba-pelumba tidak sabar untuk pamer peningkatan yang dilakukan demi keputusan lebih baik kali ini.
Begitu juga Pelumba HONDA KC RACING, Adi Putra Anahar yang menetapkan sasaran peribadinya untuk sekurang-kurangnya mempertahankan kedudukannya atau cuba menaiki kedudukan podium lebih tinggi pada pusingan ini.
Pada Pusingan 2 di Litar Lumba Tangkak, Adi menamatkan perlumbaan Wira KBS di kedudukan ketiga, manakala rakan sepasukannya, Md Akif Abdullah memenangi perlumbaan itu.
Adi berkongsi, “Untuk persiapan kali ini, saya telah fokus untuk memperbaiki kelemahan yang saya alami dalam perlumbaan sebelumnya. Saya juga telah melakukan analisis yang mendalam terhadap prestasi saya sendiri untuk memastikan segala kekurangan dapat diatasi dengan baik.”
“Target utama saya untuk perlumbaan kali ini adalah untuk bersaing di kelompok hadapan dan berusaha keras untuk naik ke podium. Saya yakin dengan usaha dan persiapan yang telah dilakukan, saya mampu mencapai sasaran tersebut. Walaupun saya menghargai pencapaian P3 dalam perlumbaan lepas, sasaran saya untuk kali ini adalah untuk memenangi perlumbaan. Saya percaya ada peluang untuk mencapai kedudukan yang lebih tinggi dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapainya.” tambahnya.
Adi turut akui bahawa dirinya adalah musuh terbesar dalam proses menyiapkan diri. Adi berkata, “Cabaran utama saya adalah untuk terus melawan batasan diri sendiri dan meningkatkan prestasi peribadi. Ia memerlukan dedikasi dan usaha yang konsisten untuk mencapai tahap terbaik.”
Bukan itu sahaja, Adi juga bersifat merendah diri untuk memperdalamkan ilmunya. Adi berkata, “Saya juga berbincang dengan Akif mengenai perlumbaan akan datang. Sebagai pemenang pusingan lepas, pandangan dan strateginya sangat berharga. Kami merancang bersama untuk memastikan kami dapat memberikan prestasi terbaik sebagai satu pasukan.”
“Saya telah menumpukan perhatian pada beberapa aspek utama, termasuk meningkatkan tahap kecergasan dan memperbaiki teknik perlumbaan. Latihan dan persiapan saya kali ini lebih fokus untuk memastikan prestasi yang lebih baik dalam perlumbaan,” tambah Adi.