Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor menyambar kemenangan untuk pusingan pertama Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa.
Md Syafiq Ezzariq Saiful Nizam dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team mendapat kelebihan pada pusingan ini apabila beliau mengambil petak pertama di grid selepas sesi “Shoot Out” dengan catatan masa 1’22:286s. Dengan sokongan yang teguh daripada rakan sepasukannya, Md Khairi Asyraf Mahmood di petak grid kedua, duo sepasukan ini telah memulakan perlumbaan dengan nada positif.
Walau bagaimanapun, Syafiq ketinggalan sedikit di awal perlumbaan dan rakan sepasukannya Fareez mengambil kedudukan P1. Di pertengahan perlumbaan, Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mara ke kedudukan P1. Md Syamil Amsyar M Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang berlumba untuk kali pertama di kategori ini tampak hebat di kedudukan P4.
Perlumbaan yang sengit pada petang ini telah menyaksikan penukaran kedudukan di antara pelumba-pelumba namun Syafiq Rosli telah tampil dengan prestasi yang mantap. Di lap terakhir, Syafiq dan Amirul dari pasukan SCK Honda Racing Team kelihatan bergelut untuk kedudukan P1 dan akhirnya Syafiq berjaya dengan catatan terpantas 11’21:598s.
Menurut Syafiq, “Bagi saya, perlumbaan pada petang ini amatlah sengit. Lebih-lebih lagi, dengan para pelumba yang bukan calang-calang orangnya. Tetapi pasukan saya telah menyediakan jentera dengan “setup” yang bagus. Walaupun cuaca agak panas hari ini, saya bersyukur kerana mampu menamatkan perlumbaan dengan suatu kejayaan.”
Md Amirul Ariff Musa mengambil tempat kedua dengan catatan masa 11’21:814s. Di tempat ketiga adalah Syamil Amsyar yang telah mempamerkan potensi di kategori ini dengan catatan masa 11’22:274s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook

