Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha -31 Racing menyambar kemenangan pertama bagi musim ini bagi kategori Wira KBS, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa.
Sesi “Shoot Out” yang berlangsung pada waktu pagi tadi telah menempatkan Amirun di petak grid pertama apabila beliau mencatatkan masa terpantas 1’26:145s. Mengikut jejak langkah abang-abang “senior”, Amirun tampak hebat di litar pada musim ini.
Walaupun Amirun dicabar oleh Ahmad Iqram Danish dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing pada lap pertama dan kedua, Amirun berjaya kembali ke P1 pada lap ketiga dan telah mengekalkan kedudukannya di lap keempat. Di lap kelima, Iqram kembali untuk memberikan saingan kepada Amirun. Dalam pada itu, Raiyan Khardanee M Sanusi mencari peluang untuk memintas rakan sepasukannya, Amirun. Raiyan berjaya di lap keenam, tetapi Amirun yang menaiki jentera No. 31 menyambar kembali kedudukan di P1 sebelum menyahut kemenangan pertamanya bagi musim ini dengan catatan masa 10’16:519s.
Menurut Amirun, “Ini hanyalah permulaan bagi saya. Pasukan saya telah bekerja keras dalam penyediaan jentera yang bagus untuk pusingan ini. Saya berharap bahawa jentera saya akan sentiasa dalam keadaan optimum agar saya dapat meneruskan kejayaan ini di sepanjang musim.”
“Para pelumba musim ini telah memberikan saingan yang hebat. Sememangnya tidak mudah bagi saya tetapi saya telah mencuba dan berikan yang terbaik.”
Raiyan mengambil tempat kedua dengan catatan masa 10’16:760s. Di tempat ketiga adalah Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 10’16:899s.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook