fbpx

SYAFIQ AKAN ELAK KESILAPAN DI LITAR JEMPOL


Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan bertemu kembali dengan para peminat di Dataran Seri Jempol pada hujung minggu ini untuk pusingan kedua. Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor lebih yakin selepas kemenangannya di pusingan satu.

Syafiq berkata, “Saya memang tidak menjangka kemenangan pada pusingan pertama. Bertambah lagi dengan cuaca yang panas terik yang telah mengurangkan “power” jentera pada dua lap terakhir. Matlamat saya adalah untuk mengecapi prestasi yang bagus dan kemenangan tersebut memberikan saya motivasi untuk beraksi dengan lebih hebat lagi. Lebih-lebih lagi, tahun ini merupakan tahun terakhir saya beraksi di kategori CP125.”

Syafiq bukanlah nama yang asing di arena Cub Prix terutamanya di kategori CP125. Pada musim lepas, beliau menaiki podium sebanyak tiga kali termasuk satu kemenangan di pusingan terakhir di Batu Kawan yang menempatkannya di kedudukan keempat secara keseluruhan. Syafiq juga telah meraih gelaran juara pada tahun 2020.

Cub Prix kembali ke Litar Jempol pada tahun lepas selepas dua tahun beraksi di litar tetap. Bagi Syafiq, litar tersebut pernah memberikannya suatu kenangan manis apabila beliau meraih tempat kedua pada tahun 2019. Namun begitu, dua tahun tanpa aksi di litar tersebut, Syafiq gagal mengulangi pencapaian tersebut kerana kesilapan yang menyebabkan beliau terbabas. Beliau menamatkan perlumbaan di tangga ketujuh pada tahun lepas.

Menurut Syafiq, “Pada tahun ini, saya akan lebih berwaspada agar tidak melakukan kesilapan seperti tahun lepas. Saya lebih suka cabaran di litar kecil kerana daripada situ, kita dapat lihat kemampuan pelumba dan jentera berbanding dengan litar besar. Sebagai penyediaan, saya akan lebihkan latihan stamina yang diperlukan untuk litar teknikal dan akan buat yang terbaik.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,