fbpx

AMIRUN LEBIH YAKIN UNTUK JEMPOL

Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berlangsung dengan cabaran yang lebih sengit di Dataran Seri Jempol. Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing akan mempertingkatkan prestasi untuk cabaran tersebut bagi kategori Wira KBS.

Masih baru di kategori Wira KBS, Amirun telah mempamerkan bakat dan kemahiran pada musim ini apabila beliau menyambar kedudukan pertama di pusingan satu yang berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa. Berbanding dengan prestasinya pada musim lepas, Amirun lebih cekap memainkan strateginya dan kelihatan lebih yakin dalam mengendalikan jenteranya.

Amirun berkata, “Kemenangan saya adalah hasil daripada pengalaman yang ditimba pada musim lalu. Saya lebih yakin dengan kelajuan jentera dan pengendalian di selekoh. Pasukan saya juga telah membuat persediaan yang secukupnya bagi jentera dan walaupun perlumbaan pusingan pertama agak “intense”, saya amat gembira kerana dapat mencapai suatu pencapaian yang hebat.”

Pada pusingan lepas, Amirun mendapat tempat keenam secara keseluruhan dengan satu kemenangan di pusingan kesembilan. Sebagai “rookie” bagi kategori tersebut, kesilapan tidak dapat dielakkan. Namun begitu, beliau cepat belajar dan telah menggunakan pengajaran tersebut untuk pencapaian yang lebih baik.

Untuk pusingan seterusnya, Amirun berkata, “Saya lebihkan latihan fizikal serta teknik berlumba dan kali ini, saya juga akan lebihkan komunikasi dengan pelumba sepasukan untuk mendapatkan pencapaian yang lebih bagus untuk pasukan saya. Litar Jempol agak sukar berbanding dengan Litar Sepang dan “teamwork” agak penting untuk memastikan kejayaan bersama.”

Menurut Sivanesan, pemilik dan pengurus pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, “Memang kebolehan Amirun tidak dapat disangkal. Beliau juga telah banyak kali memaparkan kemahiran yang setanding dengan Adam dan Syamil pada tahun lepas. Untuk pusingan kedua, cabarannya adalah dari segi teknikal serta kekuatan mental.”

“Dari segi persediaan jentera, banyak perubahan yang telah dilakukan ke atas peraturan. Kami masih dalam proses pengumpulan data enjin dan sedang melakukan ujian dari segi “setup” untuk memastikan “zero-error”. Keadaan suspension haruslah bersesuaian dengan teknik perlumbaan pelumba. Bagi pasukan saya, fokus, kecergasan fizikal, kemampuan untuk melatih dan pemikiran yang selaras dengan semua krew adalah penting. Untuk para pelumba, nasihat saya adalah untuk memberikan keutamaan bagi kecergasan fizikal. Dengan ini, kelajuan jentera juga lebih mantap.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook