fbpx

SUT PELUMBA CUB PRIX MULA DILENGKAPI SISTEM BEG UDARA


Cub Prix sentiasa berkembang dengan teknologi terkini perlumbaan dan memasuki musim ke-30 pada tahun ini, buat pertama kalinya pelumba Cub Prix menggunakan sut perlumbaan yang dilengkapi dengan sistem beg udara seiring dengan kemajuan teknologi perlumbaan. Penggunaan sistem beg udara ini sekaligus meningkatkan aspek perlindungan dan keselamatan para pelumba dalam siri perlumbaan yang semakin sengit.

Pada pusingan pertama, dua pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Nazirul Izzat dan Haziq Fairues telah menggunakan sut Alpinestars yang dilengkapi dengan teknologi Tech-Air.

Sistem yang dibangunkan hasil penyelidikan bertahun-tahun sejak awal tahun 2000-an ini telah mula digunakan dalam peringkat tertinggi perlumbaan motosikal sejak tahun 2009. Sistem yang menggabungkan algoritma perisian canggih dengan pelbagai perkakasan agar ia berfungsi dengan sangat pantas, tepat dan berkesan.

Bagaimana ia berfungsi?

Sistem Tech-Air daripada Alpinestars ini mempunyai sistem pintar pengesanan kemalangan dengan enam sensor bersepadu (3 giroskop dan 3 pecutan) berserta algoritma berasaskan ‘artificial intelligent’ untuk mengaktifkan beg udara pada masa yang tepat jika berlaku kemalangan. Namun bagi sistem beg udara yang dipadankan untuk tujuan perlumbaan ini, ia tidak akan diaktifkan di bawah kelajuan tertentu.

Sistem sensor yang terdapat pada sut perlumbaan ini akan memberi isyarat kepada ECU sistem Tech-Air sejurus mengesan kemalangan. Sistem ECU ini pula akan melepaskan gas helium-argon sejurus menerima isyarat tersebut yang akan mengisi beg udara dalam masa 20 hingga 45 milisaat mengikut saiz beg udara. 

Pada asasnya, sistem ini bertujuan supaya pelumba mempunyai perlindungan beg udara bahagian atas badan yang lengkap sebelum membuat sentuhan dengan apa-apa yang keras ketika berlaku kemalangan. Penyerapan hentaman semasa memakai beg udara mengakibatkan pengurangan daya hentaman sehingga 95% berbanding pelindung pasif.

Sistem yang digunakan dalam perlumbaan Cub Prix ini memberikan perlindungan pada bahagian atas badan dengan menutup bahu, dada, rusuk dan badan. Perlindungan bahu adalah penting bagi meminimumkan risiko pelumba mengalami kecederaan bahu dan tulang selangka yang lazim dialami dalam perlumbaan dua roda.

Diharapkan perkembangan ini akan membawa Cub Prix ke suatu tahap yang lebih baik sekaligus mengurangkan risiko kepada pelumba yang berdepan perlumbaan yang semakin sengit saban tahun.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook