fbpx

SUATU HARI NANTI SAYA TETAP AKAN KE ASIA – SYAMIL AMSYAR

Beraksi secara professional sejak tahun 2020 dalam kategori Wira KBS, Md Syamil Amsyar Md Iffende boleh disifatkan sebagai pelumba meningkat naik dalam arena sukan permotoran yang berprestij di negara, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.

Cub Prix yang namanya berasal dari perkataan ‘Cub Chai’ atau ‘KapCai’ yang bermaksud ‘Little Cub’ dalam Bahasa Kantonis dan ia juga merujuk kepada jentera Honda asal iaitu Honda 50 yang diperkenalkan oleh Soichiro Honda pada 1958.

Sejak diperkenalkan di Malaysia secara rasminya pada tahun 1994, arena Malaysian Cub Prix telah melahirkan dengan berganda bakat yang mampu bersaing di peringkat Asia mahupun Dunia.

Antaranya, Azlan Shah Kamaruzaman, Hafizh Syahrin Abdullah, Zulfahmi Khairuddin, Amirul Hafiq Azmi, Mohd Hafizah Rofa, Kasma Daniel Kasmayudin dan ramai lagi. Sementara di peringkat Asia pula Mohd Zamri Baba, Mohd Zaqhwan Zaidi, Ahmad Fuad Baharudin, Ahmad Afif Amran, Mohd Fitri Ashraf Razali, Nazirul Izzat Bahaudin adalah antara nama yang disegani ramai.

Pada tahun 2002, kategori Wira KBS telah diperkenalkan dan kini sudah dua dekad kategori tersebut terus melahirkan bakat-bakat baharu yang memahat nama di peringkat yang lebih tinggi.

Kini salah satu ‘produknya’ pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing Syamil Amsyar turut mahu menyusuli jejak mereka untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya mula minat dalam sukan permotoran ini sejak 2012 tetapi saya dapat ke arena perlumbaan sebenar 8 tahun kemudian. Ia langsung tidak kurangkan semangat saya untuk menceburi sukan ini lebih mendalam untuk menimba ilmu yang betul.

“Tahun 2020 saya baru lagi. Jadi, saya boleh sifatkan tahun tersebut sebagai tempoh menimba pengalaman dan mengenali selok-belok pengendalian jentera di atas litar. Banyak yang saya dapat belajar daripada pelumba-pelumba senior dan masa itu MCO sebab pandemik. SOP pun agak ketat. Satu pengalaman yang berharga juga lah bagi saya.

“Tahun 2021 prestasi saya boleh katakan ada peningkatan. Saya dapat mengakhiri musim di kedudukan lima teratas.” jelas, Syamil.

Empat podium pada musim lepas membolehkan Syamil mengakhiri kejuaraan edisi ke-28 itu di tangga ke-lima dengan 111 mata. Ia sekaligus memberi semangat yang luar biasa kepada Syamil untuk memulakan musim kali ini dengan rentak cemerlang.

Syamil membuktikan kebolehannya apabila meraih tempat pertama dalam tiga pusingan berturut-turut dan tempat ketiga pada pusingan ke-empat. Namun, dia sedikit ketinggalan pada pusingan ke-lima yang berlangsung di Dataran Sri Jempol, bulan lalu.

Katanya “ketika pusingan ke-5 itu saya sedikit tersasar sebab ia adalah litar baharu bagi saya. Ketika MCO beberapa litar tiada dalam kalendar jadi saya belum mahir lagi litar tersebut. Tetapi saya yakin akan buat yang lebih baik pada masa akan datang.

“Misi utama saya bagi musim untuk menjuarai keseluruhan. Saya ketinggalan dua mata. Saya tidak boleh leka lagi dan saya mahu kutip setiap mata berharga dalam setiap pusingan yang akan datang.

“Selepas ini berlumba di Litar Sepang Selatan, saya akan cuba sebaik mungkin untuk menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas.”

Walaupun pengalamannya sebagai pelumba professional agak kurang bagi Syamil tetapi prestasi dalam masa tiga tahun ini boleh dikatakan sebagai agak memberangsangkan.

Berbaki lagi lima pusingan, kini Syamil berada di tangga kedua dengan mengutip 104 mata dan dua mata dibelakang rakan sepasukan, Md Danish Aiman Zamrul.

Bagi merealisasikan impiannya untuk beraksi di peringkat Asia, Syamil kini mengejar slot di Kejuaraan Asia Road Racing, ARRC. Selamat Maju Jaya kita ucapkan kepada Syamil!

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook