fbpx

MENGIDOLAKAN ROSSI, ALIFF DANIAL MENGEJAR IMPIAN BERGELAR PELUMBA TERBAIK NEGARA MAHUPUN DUNIA


“Walaupun hanya 12 hari saya menetap di akademi milik Valentino Rossi, apa yang saya pelajari memberikan saya ketenangan di litar selepas pulang ke tanah air”

Luahan pelumba CP125, Md Aliff Danial Muhammad Asri dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang telah menyertai Yamaha VR46 Master Camp edisi ke-11 di halaman lagenda sukan permotoran dua roda, Valentino Rossi di Tavullia, Itali pada Jun lalu bersama-sama empat lagi pelumba lain dari seluruh Asia.

Turut menyertai kem tersebut, Passkon Sanluang dan Worapot Thongdonmaun dari Thailand, Aldi Satya Mahendra dari Indonesia, dan Maiki Abe dari Jepun.

Berkongsi pengalaman ketika berada di kem tersebut Aliff menyifatkan ia sebagai peluang keemasan yang dianugerah kepadanya untuk digunakan sebaik mungkin dalam usaha menambah baik prestasinya dalam arena permotoran.

Sebaik sahaja pulang dari kem tersebut, pelumba berusia 19 tahun itu berkata dapat mengendali jenteranya dengan lebih handal.

“Saya memang tak sangka saya akan dapat panggilan untuk menyertai kem tersebut. Kerujaan itu tak terkata. Saya sangat berterima kasih kepada pihak Yamaha sebab memilih saya untuk menyertainya.

“Lagi-lagi ia adalah akademi milik idola saya. Berjumpa dengan Rossi adalah impian setiap pelumba tetapi saya dapat berjabat tangan dengan beliau, meluangkan beberapa jam bersama dan juga dapatkan nasihat yang cukup berharga untuk meningkatkan prestasi saya.

“Budaya di sana amat berbeza. Ia mengambil sedikit masa bagi saya untuk adaptasi tetapi bukan sukar bila minat itu ada. Saya dapat belajar ‘Flat Track’ yang jarang ada di Malaysia, MiniGP, R3, simulasi dan sebagainya. Pengalaman di sana juga mencetuskan semangat saya untuk meningkatkan prestasi agar dapat beraksi di peringkat antarabangsa satu hari nanti.

“Suatu ketika dahulu saya hampir demam apabila menjejaki litar buat kali pertama ketika saya berusia 14 tahun. Kini saya dapat berkelana sampai ke luar negara. Saya harap ia akan berterusan sehingga saya memahat nama di persada dunia.” kata Aliff dengan nada seronoknya.

Pelumba dari Tangkak, Johor itu, mula menjinak dalam arena sukan permotoran berprestij negara, Malaysian Cub Prix, pada tahun 2017 dalam kategori Yamaha Petronas Super Series. Dengan hanya pengalaman ditimba dari saingan ‘MotorCross’ sebelum itu, Aliff tidak mengambil masa yang lama untuk menyerlah dalam kategori tersebut.

Pada musim berikutnya, Aliff muncul Naib Juara kategori Yamaha Petronas Super Series sekaligus dinaikkan pangat ke kategori Wira KBS bagi tahun 2019.

Beraksi bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Aliff mencatat sejarah baharu dalam kariernya apabila muncul juara keseluruhan kelas Wira pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia edisi ke-26 dengan meraih 145 mata menerusi penampilannya dalam 10 pusingan perlumbaan musim tersebut.

Kemenangan itu menyaksikan Aliff beralih ke saingan kategori CP125 bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada tahun 2020. Bagaimanapun berlumba bersama-sama pelumba yang berpengalaman termasuk pelumba yang beraksi di peringkat Asia membuatkan Aliff sedikit bergelut untuk mendapat rentaknya.

“Saya memang agak bergelut pada awalnya sebab ramai pelumba otai berada dalam kategori tersebut. Segelintir daripada mereka ada pengalaman berlumba di peringkat Asia dan ada yang daripada CP150. Tetapi saya dapat belajar dan menimba pengalaman yang berharga daripada mereka. Banyak saya belajar daripada mereka.

“Musim kedua saya dapat juga rasa naiki podium. Saya dapat podium di tiga pusingan dan mengakhiri saingan musim tersebut dengan menghuni ranking ke-8.”

“Tahun ini baru saya dapat rentak yang agak bagus. Walaupun terlepas pusingan ketiga, saya berada di tangga tiga teratas dengan 26 mata. Baki lagi 5 pusingan. Jika mahu kejar kejuaraan itu agak sukar. Jadi saya akan cuba yang terbaik untuk mengukuhkan lagi kedudukan saya sehingga akhir musim.” jelas Aliff.

Mengulas mengenai pusingan seterusnya di Litar Sepang Selatan, Aliff menyatakan kesemua pelumba mempunyai peluang ke hadapan tanpa mengira bermula di petak ke berapa di litar sepanjang 2.06 kilometer itu sebab ia merupakan trek yang panjang.

Bagaimanapun, Aliff yakin figura beliau yang kecil dan ringan juga mempunyai kelebihan untuk mendominasi perlumbaan di Sepang nanti. Aliff turut menyifatkan pelumba dari pasukan ONEXOX TKKR RACING Team dan YY PANG RACING Team sebagai pencabar utama disebabkan pengalaman yang mereka milikinya. Aliff yang terlepas pusingan ketiga yang telah berlangsung di litar yang sama sebelum ini akan membuat penampilan pada pusingan ke-6 pada 6 dan 7 Ogos ini dengan misi mengutip mata semaksimum mungkin.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook