Pelumba JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM, Md Shafiq Ezzariq teruja berlumba menjelang Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Permotoran Terengganu. Shafiq menunjukkan semangat yang tinggi dengan persiapan yang menyeluruh telah dilakukan untuk menghadapi cabaran kali ini.
“Untuk persiapan menuju ke Pusingan 6 di Terengganu, saya sudah bersedia secara fizikal dan mental. Saya juga telah menetapkan minda baru untuk menghadapi perlumbaan kali ini,” ujar Shafiq dengan penuh keyakinan.
Tahun lalu, Shafiq meraih tempat kedua dalam dua pusingan yang berlangsung di litar yang sama. Menurutnya, “Memang sangat geram sebab saya berikan segalanya demi memenangi perlumbaan, tetapi pada hujung perlumbaan saya dipintas dan hanya mampu akur dengan kedudukan P2. Jadi untuk kali ini, saya akan melepaskan geram berhabis-habisan untuk mendapatkan kemenangan.”
Hasrat Shafiq untuk kembali ke Terengganu adalah untuk mencipta sejarah baru. “Semestinya saya mahu membawa pulang piala kemenangan, saya nak berdiri di podium tengah. Macam mana sekalipun, kena dapatkan kemenangan juga,” katanya penuh semangat.
Dalam usaha untuk mencapai hasrat tersebut, Shafiq telah melakukan analisis mendalam mengenai perlumbaan-perlumbaan terdahulu di Litar Permotoran Terengganu. “Saya telah mengulangkaji semula perlumbaan-perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu pada tahun lalu untuk kenal pasti kesilapan dan kekurangan, mencari bahagian yang perlukan tambahbaikan. Lihatlah saya nanti, saya akan pastikan saya kurang melakukan kesilapan. Saya akan memastikan persembahan lebih konsisten terutamanya tunggangan.”
Shafiq turut berkongsi pandangannya tentang litar tersebut, “Litar Permotoran Terengganu ini sebenarnya antara litar kegemaran saya kerana ia merangkumi kedua-dua ‘high speed’ dan teknikal yang menjadikannya trek yang mencabar. Bukan itu sahaja, trek itu juga agak kecil, jadi untuk aksi memintas agak sukar. Apabila berlumba di trek kecil, ia memerlukan tahap fokus yang lebih tinggi kerana jika kita dipintas dalam keadaan tidak peka atau bersedia, ada kemungkinan untuk menyebabkan kemalangan. Jadi, bagi saya, Litar Permotoran Terengganu adalah trek paling mencabar antara semua trek.”
Namun, perjalanan Shafiq tidak tanpa halangan. “Buat masa ini saya berdepan halangan dari segi jentera. Bukan jentera saya tidak laju, ia laju dan berkemampuan untuk menang. Tapi dalam masa sama pasukan lain juga membuat penambahbaikan, jentera mereka juga semakin laju. Tambah pula nak bersaing dengan pelumba-pelumba muda. Setakat ini saya masih belum menjejak kaki ke atas podium. Bagaimanapun saya tetap bersyukur dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan 5 terbaik, dari segi mata saya masih berpeluang untuk bersaing untuk gelaran juara keseluruhan. Jadi saya akan cuba menyesuaikan diri dengan cepat dan cuba mendapatkan gelaran juara keseluruhan itu.”