Emil Idzhar Ezuan, pelumba muda berbakat dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, bakal menggegar Litar Permotoran Terengganu menjelang Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix pada minggu ini!
Setelah beraksi dalam kategori Wira KBS tahun lalu, Emil dinaikkan pangkat untuk melangkau kategori CP125 dan menyertai CP150.
Pada tahun lalu, Emil memenangi perlumbaan pada pusingan 7 di Litar Permotoran Terengganu dalam kategori Wira KBS, menandakan pencapaian cemerlangnya di litar tersebut. Namun, kali ini Emil akan bersaing dengan pelumba-pelumba berpengalaman yang lebih senior, termasuk rakan sepasukannya, Md Akid Aziz dan Ahmad Afif Amran, yang merupakan antara pelumba terkemuka dalam kategori CP150.
Emil tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dalam perlumbaan kali ini. Dia sedar bahawa dia masih dalam proses penyesuaian dengan kategori CP150 dan belum berada di tahap optimal untuk memberikan saingan terbaik. Namun, Emil tetap mahu pamer aksi terbaik untuk dirinya dan pasukan.
“Persiapan saya untuk pusingan 6 di Terengganu agak intensif. Saya telah meningkatkan latihan motosikal dan juga fokus kepada peningkatan kecergasan serta kekuatan fizikal saya. Ini adalah usaha saya untuk bersedia sebaik mungkin.”
Ketika mengimbau kembali pencapaiannya di pusingan 7 tahun lalu, Emil menyatakan: “Ketika memenangi perlumbaan di Terengganu tahun lalu, saya merasa sangat terharu. Ini kerana saya tidak pernah berlumba di litar tersebut sebelum ini dan saya sangat terkejut dapat mengekalkan posisi pertama dari awal lap hingga ke garisan penamat.”
Berhubung dengan hasratnya untuk perlumbaan kali ini, Emil berkongsi: “Hasrat saya untuk perlumbaan kali ini adalah untuk kembali menaiki podium. Setakat ini, saya belum mencapai podium dan saya sangat lapar untuk mencapainya. Ini adalah motivasi utama saya.”
Dia turut membandingkan persaingan dalam CP150 dengan Wira KBS: “Saingan dalam CP150 jauh berbeza berbanding Wira KBS. Sebagai pelumba muda yang baru memasuki kategori ini, saya sedar bahawa persaingan sangat sengit. Peluang untuk mencapai target saya masih tidak jelas, namun saya akan terus memperbaiki diri untuk mencapai matlamat tersebut.”
Dalam usaha mencapai hasratnya, Emil menjelaskan: “Perancangan saya termasuk melakukan lebih banyak latihan motosikal dan memperbaiki kecergasan saya. Saya juga akan banyak bertanya kepada rakan sepasukan saya, Akid Aziz dan Afif Amran, kerana mereka adalah pelumba yang sangat profesional dan berpengalaman di litar.”
Emil turut berkongsi pendapatnya mengenai litar Terengganu: “Litar Terengganu adalah sangat teknikal dan mempunyai ruang yang agak terhad untuk memotong. Oleh itu, cabarannya adalah besar kerana anda perlu bijak mengatur strategi di litar yang kecil ini.”
Akhirnya, Emil juga berkongsi tentang halangan yang dihadapinya: “Antara halangan yang saya hadapi adalah mencari keserasian dengan motosikal baru saya. Motosikal ini jauh lebih laju daripada yang saya gunakan tahun lalu. Saya masih dalam proses menyesuaikan diri untuk mencari keserasian yang diperlukan untuk berada di podium.”

