fbpx

“SAYA SASARKAN MATA TERTINGGI, UBATI KECEWA DI LITAR TELUK INTAN” – SYAFIQ ROSLI


Kategori CP125 dalam saingan berprestij tinggi kebangsaan iaitu Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, sentiasa disifatkan sebagai platform menguji spek dan kehandalan sesebuah jentera. Ia juga medan bagi industri permotoran untuk menguji tahap kemampuan setiap penciptaan baharu mereka.

Bagi pelumba pula ia menjadi medan menguji keberanian dan daya tahan mereka untuk menempuh setiap cabaran baru tanpa menghirau apa yang menanti di hadapan mereka. Detik manis, kecewa, cemas, drama? Apa yang kamu mahu? Semua dapat disaksi hanya pada kategori CP125! Ia juga membuat kategori ini agak unik dan menarik.

Menang kalah adat perlawanan, tetapi mengekalkan momentum kemenangan sepanjang musim itu bukan mudah. Kejuaraan dengan 10 pusingan, permulaan cemerlang tidak semestinya menjanjikan musim yang sempurna, permulaan yang kurang baik juga tidak maknanya tidak boleh bangkit semula dan kekecewaan di pusingan tertentu juga tidak maksudnya pelumba itu tidak hebat.

Adakalanya, nasib menentukan segalanya!

Begitu juga bagi pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Syafiq Rosli yang membuka tirai kempen Malaysia Cub Prix edisi ke-30 yang cukup beristimewa ini dengan langkah kanan apabila mengakhiri saingan di pentas podium. Namun ‘ladyluck’ tidak menyebelahi Syafiq di dua pusingan seterusnya, susulan beberapa insiden yang tidak dijangka, beliau tidak berjaya meneruskan rentak kemenangan itu.

Namun, perkataan ‘give up’ itu tiada dalam kamusnya!

“Bermula musim dengan baik, tetapi apakan daya, saya hilang mata di beberapa pusingan. Pada masa yang sama saya berjaya menaiki podium sebanyak 3 kali. Memang tidak mencukupi tetapi seperti kita tahu, itulah suka duka perlumbaan. Tak boleh dijangka dan siapa sahaja pun boleh menang. Sepanjang musim 2023, pusingan lepas di Teluk Intan yang paling mengecewakan.

“Saya jatuh ketika practice dan ia juga membuat saya mula perlumbaan di grid terakhir. Bukan itu sahaja, baru sahaja beberapa lap.. saya langar rider di depan. Dia dah jatuh dan saya tidak dapat mengelak dan situlah berakhir pusingan 7 saya tanpa sebarang mata.. kecewa itu memang ada tetapi saya tidak boleh terus ‘down’ dengan apa yang jadi. Saya kena juga ‘move on’ untuk pastikan saya mengelak lakukan kesilapan yang sama di pusingan seterus.”

Bukan setiap kekalahan itu boleh menjatuhkan semangat setiap pelumba, ada kekalahan  mampu menyemarakkan lagi semangat mereka untuk bangkit terus mendominasi apa yang ada di depan mata mereka. Ia cukup sesuai dengan pelumba kelahiran Perak ini yang tidak mengerti maksud putus asa.

“Setiap pusingan mempunyai cabaran masing-masing, adakalanya litar, adakalanya cabaran dari pelumba dan sebagainya. Kalau saya nak pilih pencabar utama saya pun, saya rasa semua pelumba mempunyai peluang yang sama rata untuk ke depan. Jadi, apa yang saya perlu fokus adalah diri saya. Kekurangan dan kelemahan saya yang harus saya baiki untuk setiap pusingan akan datang. Ada masanya nasib juga memainkan peranan tetapi itu bukan alasan lah…

“Buat masa ini saya hanya mahu fokus pada diri saya dan mengutip mata maksimum di pusingan seterusnya. Saya tak nak lain. Saya hanya mahu mata maksimum sebab saya agak ketinggalan berbanding Khairi dan Shafiq Ezzarique.. jadi saya harus elak melakukan kesilapan dan mengutip mata sebanyak mungkin. Memang sasaran utama itu untuk meraih gelaran juara keseluruhan tetapi ini bukan masa untuk terlalu fokus terhadap gelaran itu.”

Saingan pusingan ke-8 Malaysian Cub prix kali ini, dijadualkan berlangsung di Llitar Medini dengan menggantikan Litar Tangkak. Beraksi buat pertama kali di sana, Syafiq percaya semua memiliki peluang yang sama rata untuk mendominasi litar baru itu.

“Litar Medini ini tiada siapa yang pernah berlumba di sana. Jadi semua mempunyai chances dan pada masa yang sama ia juga satu cabaran baru di mana kami tidak tahu ‘layout’ litar tersebut. Apa-apa pun minggu ini kita #FullGas,” dengan penuh keyakinan Syafiq menantikan cabaran baharu.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook