fbpx

“SAYA AKAN BERJUANG DEMI IBU” – AZROY HAKEEM ANUAR

“Walaupun bukan setiap kali ibu ada bersama saya ketika perlumbaan, tetapi arwah ibu tidak pernah gagal mengucap dan doakan keselamatan saya sebelum saya mula perlumbaan, itu apa yang saya akan paling merindui selepas ini” luahan seorang anak bongsu, pelumba Honda Yuzy Estremo Team, Azroy Hakeem Anuar yang baru sahaja kehilangan ibu tercinta.

Apa pun pengikhtirafan yang kita miliki di dunia ini; atau apa saja ketinggian darjatyang dimiliki, kita tetap berstatus anak buat ibu yang melahirkan! Kasih sayang seorang ibu itu tiada ditandingi harta sebesar mana jua.

Azroy yang kelihatan reda dengan pemergian ibu tersayang namun jauh di sudut hatinya masih tersisa kesedihan yang tidak dapat diselindungi. Anak mana yang mampu menerima hakikat ditinggalkan ibu yang melahirkan? Ibu yang selama ini menjadi tunggak kekuatan saat susah dan senang.

“Sebelum saya mula berlumba secara profesional, saya mula minat berlumba selepas menunggang motosikal bapa tanpa kebenaran ketika berusia 14 tahun di sekitar kawasan taman perumahan tempat beliau tinggal. Jatuh pun pernah. Ketika itu bapa menyarankan saya untuk melibat secara profesional dengan lebih selamat. Waktu itu, ibu tidak setuju. Sudah tentunya sebab sukan permotoran ini adalah bahaya.

“Alhamdulilah, bila ibu nampak kesungguhan saya untuk ceburi sukan ini, dia akhirnya izinkan juga. Lagi-lagi selepas saya mencecah ke satu tahap yang lebih tinggi seperti beraksi di peringkat Asia, dia gembira.”

Azroy bukanlah satu nama asing dalam sukan permotoran sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat Asia. Pelumba kelahrian Selangor itu, bukan sahaja melakar nama di peringkat kebangsaan malah juga berkelana di peringkat antarabangsa apabila menyertai Asia Talent Cup pada tahun 2015 dan juga FIM Asia Road Racing Championship pada tahun 2016 sehingga kini.

Pelbagai kemenangan dicatit dan pelbagai peristiwa manis serta pahit dilalui pelumba berusia 23 tahun itu sepanjang kariernya sebagai seorang pelumba profesional. Tetapi doa dan kata-kata arwah Ibu sentiasa mendorongi beliau untuk menharungi setiap liku kehidupan sama ada dalam di dunia pemotoran mahupun dalam kehidupan harian.

“Pengorbanan seorang ibu adalah sangat besar. Bagi saya pun sama juga. Iibu telah banyak berkorban demi kegembiraan kami dua adik beradik dari kecil sehinggalah saya berkahwin. Walaupun saya sudah mendirikan rumah tangga sendiri dan sudah kurang meluangkan masa dengan ibu atas kekangan berlumba di pelosok negara serta di Asia, beliau tetap mengambil berat  tentang keselamatan dan masa depan saya.

“Saat-saat ini adalah sangat berat buat setiap manusia. Ada yang dalam kalangan kita yang tidak sempat merasai kasih sayang seorang ibu sejak kecil, namun pertalian kasih sayang itu akan terus hidup dalam doa dan ingatan. Ada pula yang cuma diberi kesempatan yang terbatas, kerana kehilangan wanita yang paling agung ini atas sebab-sebab tertentu. Bagi saya, saya redha dengan ketentuan Yang Maha Kuasa.

“Saya tidak akan nafikan ia adalah momen yang sangat berat sewaktu perlumbaan. Tetapi saya percaya doa ibu akan sentiasa iringi saya di mana-mana jua saya berada. Saya akan sentiasa berpegang pada apa yang ibu selalu pesan, untuk menolong orang di sekeliling jika ada rezeki, setiap kali menang perlumbaan ibu akan minta saya banyakkan bersedkah. Jadi, saya akan sentiasa meneruskan amalan ini. Saya akan berjuang demi nama ibu” Katanya.

Azroy terlepas satu pusingannya di Litar Teluk Intan baru-baru ini, ketika pemergian ibunya. Ia turut menyebabkan Azroy turun satu tangga dalam kedudukan carta kategori CP150 dengan mengutip 95 mata. Kini kembali dengan semangat yang luar biasa, Azroy tekah mengatasi dukanya dengan beraksi lebih baik demi ibu yang tercinta.

“Saya terlepas satu pusingan tetapi ia tidak mengurangkan semangat saya, terutamanya demi arwah ibu, saya akan buat terbaik di Litar Medini minggu ini. Takdir Allah, kita terima dengan seikhlas-ikhlasnya. Saya harap doa ibu sentiasa ada bersama saya.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook