Pusingan ke-8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Dataran Seri Jempol pada hujung minggu ini. Md Syamil Amsyar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing akan memperbaiki kekurangan dan mengulangi prestasi cemerlangnya di kategori CP125.
Juara bertahan, Syamil kini menghadapi persaingan sengit daripada pesaing terdekatnya Izam Ikmal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing yang akur di tempat kedua secara keseluruhan pada musim lepas dengan perbezaan sebanyak 20 mata. Persaingan di antara kedua-dua pelumba ini telah berlanjutan hampir dua tahun dan dengan prestasi Izam yang semakin meningkat, kedudukan Syamil pada musim bukan sahaja dicabar tetapi jelas semakin tergugat.
Namun begitu, Syamil masih mempunyai peluang untuk menyahut cabaran dan memburu takhta kejuaraan lebih-lebih di pusingan yang akan berlangsung di tapak perlumbaan yang telah menghadiahkan 25-mata kepada beliau pada musim lepas. Persoanlannya, mampukah Syamil mengulangi strategi kemenangan tersebut untuk mencabar dan memberikan saingan terbaik kepada pesaingnya? Pada musim lepas, Izam mencatat “DNF” di litar Jempol.
Menurut Syamil, “Cabaran utama saya untuk musim ini adalah tahap konsisten saya. Ada beberapa pusingan saya bermula dengan baik tetapi masalah teknikal dan sedikit kesilapan di trek menjejaskan keputusan. Persaingan juga sangat rapat kerana ramai pelumba yang meningkat prestasi mereka, jadi setiap perlumbaan perlu betul-betul fokus. Secara realistik, saya mahu fokus kepada perlumbaan demi perlumbaan, tidak terlalu memikirkan jumlah mata keseluruhan. Matlamat utama adalah untuk sentiasa berada di kelompok depan, elakkan DNF, dan pastikan kutipan mata stabil. Jika peluang untuk menang ada, saya akan cuba ambil, tapi keutamaan adalah untuk konsisten.”
“Izam sangat konsisten dari awal musim, jarang melakukan kesilapan besar. Emil pula agresif dan cepat menyesuaikan diri dengan keadaan trek. Itu antara kekuatan mereka, dan saya perlu tingkatkan lagi cara saya menguruskan tekanan dan strategi ketika perlumbaan supaya dapat seimbang dengan kelebihan mereka. Tahap persaingan di Tangkak kali ini akan lebih tinggi. Untuk saya, kami akan analisis semula pelarasan motosikal yang digunakan sebelum ini dan buat penambahbaikan mengikut keadaan trek terkini. Fokus saya adalah untuk bermula dengan baik, kawal rentak dari awal, dan cuba manfaatkan pengalaman kemenangan di situ.
Syamil juga berkata, “Kami banyak fokus pada latihan fizikal dan mental, selain sesi ujian motosikal untuk cari pelarasan terbaik. Komunikasi dengan pasukan teknikal juga sangat penting, jadi setiap maklum balas saya selepas sesi latihan akan terus digunakan untuk tambah baik prestasi motosikal. Matlamat utama saya adalah mengekalkan kedudukan sekurang-kurangnya di kelompok tiga terbaik keseluruhan. Kalau ada peluang untuk kejar kedudukan lebih tinggi, saya akan cuba sebaik mungkin. Paling penting, saya mahu buktikan konsistensi dan beri saingan sehingga ke pusingan terakhir.”

