DARWISY MENGORAK LANGKAH

Ahmad Darwisy Ahmad Sahir dari pasukan HONDA ESTREMO YUZY RACING kini berada di musim keduanya dalam kategori tertinggi Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix, CP150. Perjalanan menuju tahap ini bukan mudah, namun pengalaman musim lalu kini mula menampakkan hasil.

“Dengan pengalaman dari musim pertama, saya rasa lebih yakin untuk bersaing. Musim ini saya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik, dan itu memberikan saya semangat untuk terus maju,” jelas Darwisy.

Musim ini turut mencatat detik bermakna apabila Darwisy meraih podium pertamanya di Pusingan 3. “Perasaan ketika itu memang sangat gembira dan terharu kerana akhirnya saya dapat naik podium dalam CP150. Ia amat bermakna kerana saya dapat bertarung dengan pelumba-pelumba senior di barisan hadapan. Itu membuatkan saya lebih yakin dan memberi motivasi untuk terus mencabar selepas ini,” katanya penuh semangat.

Bagi Darwisy, pencapaian tersebut mengubah cara dia menilai potensi diri. “Podium itu membuatkan saya lebih berani. Sekarang saya percaya saya mampu mencabar kelompok hadapan, bukan hanya ikut rentak mereka,” tambahnya.

Di sebalik kemajuan yang dikecapi, Darwisy mengakui ada ketika rasa putus asa datang. “Perasaan itu memang pernah ada, tetapi saya mula berlumba sejak umur lapan tahun. Saya tidak mahu mensia-siakan perjuangan sejak dari kecil. Itu yang membuatkan saya terus bangkit setiap kali jatuh,” katanya dengan tekad.

Sumber motivasi terbesar Darwisy datang daripada keluarga dan pasukan HONDA ESTREMO YUZY RACING yang tidak pernah berhenti memberi dorongan. “Mereka sentiasa sokong saya, beri kata-kata semangat, dan itulah yang buat saya terus berjuang dalam CP150,” ujarnya.

Menjelang Pusingan 8 di Dataran Seri Jempol, Darwisy melihat peluang untuk memperkukuh kedudukannya. Perlumbaan di litar yang sempit dan teknikal sentiasa menguji ketahanan fizikal serta mental pelumba, apatah lagi dengan ramalan cuaca hujan yang mampu menjadikan saingan lebih sukar dijangka.

“Target saya untuk perlumbaan kali ini adalah pamer prestasi konsisten, beri saingan rapat dengan kelompok depan, dan kutip sebanyak mungkin mata kejuaraan,” kata Darwisy.