“MUSIM INI LEBIH BAIK BAGI SAYA” – KASMA

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke Dataran Seri Jempol pada musim ini dengan pusingan ke-8. Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor akan kembali untuk mendominasi litar tersebut sekali lagi di kategori CP150.

Di pusingan kedua yang telah berlangsung di litar Tangkak, Kasma telah tampil dengan persembahan yang mantap terutamanya dalam mendominasi litar ketika hujan, di litar basah yang telah menghadiahkan kemenangan pertamanya pada musim ini. Semenjak kemenangan tersebut, beliau telah tampil dengan strategi yang mantap. Beliau juga telah memaparkan keberanian untuk mengambil risiko yang memerlukan teknik pengendalian jentera yang lebih konsisten dan stabil di samping memberikan saingan yang hebat kepada pesaing-pesaing terdekatnya.

Aksi dan persembahan Kasma pada musim ini tidak jauh berbeza dari segi kedudukan di carta keseluruhan berbanding dengan musim sebelumnya di mana beliau berjaya di tangga ketiga secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 124 mata. Apa yang berbeza adalah pencapaiannya pada musim ini yang telah membuahkan hasil di kedudukan pertama atas podium sebanyak dua kali. Pada musim lepas, Kasma menaiki podium sebanyak lima kali tetapi hanya di kedudukan kedua dan ketiga.

Menurut Kasma, “Beza musim lepas dengan musim ini adalah prestasi jentera yang lebih baik. Terdapat sedikit perubahan regulasi dari segi berat iaitu berat haruslah sama rata bagi semua pelumba. Jadi, yang lebih berat, boleh kurangkan berat jentera dan yang ringan, harus tingkatkan berat jentera. Ini telah memberikan saya kelebihan kerana saya boleh dikira antara pelumba yang berat di kategori CP150. Dengan ini, saya dapat mengecapi keputusan yang agak cemerlang bermula dari pusingan di Tangkak. Kedudukan saya di carta keseluruhan setakat ini pun agak baik. Saya masih berada di kedudukan ketiga teratas dan saya harus cuba mengurangkan jurang perbezaan dengan pelumba di kedudukan teratas.”

“Dari segi jentera pula, perubahan regulasi ini juga memberikan kelebihan di litar yang lebih besar. Jenis jentera begini yang kapasitinya kecil tetapi berkuasa tinggi memerlukan keberanian dan strategi yang berlainan untuk mengekalkan tahap konsisten dari permulaan sehingga akhir perlumbaan terutamanya di litar yang lebih kecil. Kami akan terus berlumba dengan lebih kompetitif tetapi banyak lagi yang boleh diperbaiki. Kami masih tidak sempurna 100%.”

Dari aspek persaingan, Kasma berkata, “Setakat ini, saya sudah menang dua kali tetapi Afif telah menang sebanyak lima kali. Perbezaannya, Afif telah mendapat podium yang lebih banyak berbanding dengan saya. Akid pula bukanlah pesaing terdekat saya. Saya hanya tumpukan perhatian untuk mendekatkan lagi mata keseluruhan dengan Afif. Tetapi, bukan semudah yang kita sangka kerana waktu perlumbaan, macam-macam yang boleh menjadi. Saya hanya mengharapkan saya dan pasukan akan mendapat rezeki yang lebih baik di pusingan yang akan datang. Target kami sebagai satu pasukan adalah juga untuk mendapat kedudukan yang lebih baik secara keseluruhan.”