Mohd Ramdan Mohd Rosli sekali lagi akan beraksi dalam saingan CP150 pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di MAEPS, Serdang, Selangor yang akan berlangsung pada 15 dan 16 Julai ini.
Bekas pelumba Moto2 di Kejuaraan CEV Sepanyol itu diberikan peluang untuk membawa cabaran pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor bagi menggantikan Kasma Daniel Kasmayuddin sewaktu pusingan lepas di Teluk Intan, namun sekali lagi diberikan kepercayaan untuk beraksi meskipun Kasma turut beraksi pada minggu ini.
Ramdan yang juga juara CP115 2010 membuktikan dirinya masih belum kehilangan sentuhan bersama jentera Underbone apabila berjaya meraih petak mula di barisan hadapan setelah mencatat masa ketiga terpantas pada sesi shoot-out sekalipun hampir empat tahun meninggalkan saingan Kejuaraan Cub Prix.
“Saya gembira sekali lagi dapat beraksi dalam saingan Cub Prix minggu ini, dan saya berharap dapat beraksi sehingga ke penghujung musim,†jelas Ramdan.
Tambah Ramdan, “Pada pusingan lepas saya tidak menyangka masih mampu mengendalikan jentera underbone dengan baik. Cuma, mungkin sebab sudah beberapa tahun ditinggalkan, perasaan sewaktu perlumbaan akhir agak berbeza, saya sedikit gopoh, mungkin terlalu teruja dan bersemangat untuk menang sehingga terjatuh. Mujurlah saya masih dapat meneruskan perlumbaan dan tamat di tempat ke-11.
“Saya berharap dapat mempamerkan aksi lebih baik pada minggu ini, kalau boleh berada di atas podium,†jelas Ramdan.