RAIYAN JULANG MAHKOTA DI LYL

Aksi Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di LYL International Karting Circuit diwarnai aksi sukar dijangka apabila pelumba IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM, Raiyan Khardanee M Sanusi, muncul pemenang perlumbaan kategori CP125 menerusi pintasan dramatik di selekoh terakhir.

Perlumbaan dimulakan dengan kelebihan buat pemegang petak utama merangkap rakan sepasukan Raiyan, Md Khairi Asyraf Mahmood, yang pantas meluru ke hadapan mendahului saingan. Khairi mencetak masa 1’14.478s pada pusingan ketiga sebelum dinafikan oleh Emil Idzhar Ezuan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING yang bertindak berani merampas kedudukan pendahulu pada pusingan kelima.

Emil kemudiannya mempamerkan kawalan jentera yang cukup mantap untuk memimpin perlumbaan selama beberapa pusingan. Namun, kejutan mula tercetus pada pusingan ke-10 dan 11 apabila pertarungan lima kelompok hadapan menjadi semakin sengit. Ahmad Iqram Danish dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM mencetak masa pantas 1’14.034s untuk mencabar kedudukan podium, sementara Khairi turut memecut garang dengan catatan masa terpantas perlumbaan 1’13.501s pada pusingan ke-10.

Kemuncak persaingan meletus pada pusingan terakhir apabila kedudukan kerap bertukar tangan. Emil dan Raiyan saling memintas di kelompok hadapan sebelum Raiyan melancarkan serangan nekad di selekoh terakhir untuk memintas Emil, sekali gus memecut laju melintasi garisan penamat dengan masa 14’59.217s. Emil terpaksa akur di tempat kedua menerusi catatan 14’59.414s, manakala Iqram melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga pada 15’00.155s.

Sementara itu, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM di tempat keempat dengan masa 15’00.523s dan Khairi di kedudukan kelima pada 15’00.767s melengkapkan kelompok lima terbaik.

Raiyan meluahkan, “Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh ahli pasukan yang telah bertungkus-lumus menyiapkan jentera. Walaupun pada awalnya jentera kami tidak berada dalam keadaan sempurna, mereka tidak pernah menyerah kalah dan terus berusaha mencari pelarasan terbaik sehinggalah kami menemui rentak yang diimpikan.”

“Sepanjang perlumbaan tadi, saya berasa sangat yakin dan tenang di atas litar untuk bersaing rapat dengan pelumba lain. Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, tetapi emosi dan semangat kali ini nyata berbeza berbanding musim lepas. Oleh itu, kejayaan meraih tempat pertama ini saya dedikasikan khas buat pasukan saya yang sentiasa mempercayai kebolehan saya!”



TOP 5 FASTEST – RACE

1. RAIYAN KHARDANEE M SANUSI – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (14’59.217s)

2. EMIL IDZHAR EZUAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’59.414s)

3. AHMAD IQRAM DANISH – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (15’00.155s)

4. MD FARISH IQMAL KHAYRUL ELYAS – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (15’00.523s)

5. MD KHAIRI ASYRAF MAHMOOD – IPONE YAMAHA YY PANG RACING TEAM (15’00.767s)