MALEK DOMINASI LYL, ADY SAH JUARA WIRA

Aksi Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di LYL International Karting Circuit pada malam ini menyaksikan penguasaan mutlak pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING dalam kategori WIRA. Ahmad Malek Ridha bertindak cemerlang mengungguli perlumbaan akhir, manakala rakan sepasukannya, Nuzzul Ady Muhammad Sudin, mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan WIRA musim 2026 lebih awal walaupun saingan masih berbaki dua pusingan.

Perlumbaan dimulakan dengan aksi agresif pelumba IGOL BROTHERS 7 TECH RACING, Md Fairil Hazmi Farid Sezli, yang meluru pantas merampas kedudukan pendahulu. Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Malek yang bermula di petak utama bersama Ady bertindak tangkas memintas Fairil seawal pusingan kedua. Berada di hadapan, Malek dan Ady mempamerkan rentak tunggangan cukup kemas dalam cuaca malam yang sejuk, sekali gus menjarakkan diri sejauh 3 saat daripada kelompok mengejar menjelang pusingan keenam.

Malek terus memecut selesa tanpa sebarang ancaman apabila melebarkan jurang kepada 3.021s memasuki pusingan kesembilan. Sementara itu, persaingan sengit tercetus di kelompok belakang apabila Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM dan Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM bijak melakukan pintasan demi pintasan untuk memperbaiki kedudukan.

Malek akhirnya melintasi garisan penamat selaku pemenang dengan masa 12’34.152s, diekori Ady di tempat kedua pada 12’39.076s bagi mengesahkan penguasaan 1-2 buat kem PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING. Akid melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan 12’40.022s. Tempat keempat menjadi milik Adi dengan catatan masa 12’40.535s selepas berjaya memintas Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki di pusingan akhir.

Malek berkongsi, “Syukur alhamdulillah atas kejayaan ini dan terima kasih kepada seluruh pasukan yang bekerja keras. Pada permulaan tadi pelancaran saya kurang memuaskan, namun saya kekal tenang untuk mencari ruang selamat. Saya dan Ady berpegang teguh pada strategi awal, dan hasil kerjasama berpasukan serta kesabaran di atas litar, kami berjaya menguasai dua kedudukan teratas hari ini.”

Kedudukan naib juara dalam perlumbaan ini sudah cukup untuk mengunci kejuaraan keseluruhan buat Ady. Ady berkata, “Saya cuba kekal konsisten dan memberikan yang terbaik. Ini merupakan penampilan kedua saya dalam kategori WIRA musim ini, dan alhamdulillah saya berjaya meraih kejuaraan keseluruhan. Perasaan gementar itu ada, tetapi saya bersyukur dapat mengatasinya dan menjadikan kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk aksi akan datang.”



TOP 5 FASTEST – RACE

1. AHMAD MALEK RIDHA – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (12’34.152s)

2. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (12’39.076s)

3. MD AKID MOHD SHAH KHEARUL NISIAM – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (12’40.022s)

4. ADI PUTRA ANAHAR – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (12’40.535s)

5. MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (12’40.593s)