PIALA PRO-AM : PERLUMBAAN AKHIR PIALA PRO AM PENUH DRAMA

Pusingan di Batu Kawan, Pulau Pinang merupakan pusingan bawa tuah kepada pelumba kategori Piala Pro-Am PETRONAS Sprinta, Mohd Aliff Aiman Tumiran apabila menjuarai perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Aliff yang sememangnya beraksi dengan prestasi konsisten sejak sesi ujian masa tidak diberikan saingan sengit apabila jauh meninggalkan pelumba lain dengan perbezaan masa 3.641 saat.

Dengan catatan masa 9:39.673 saat Aliff menaiki podium buat kali pertama musim ini dan mengutip 25 mata berharga.

Sementara itu kemenangan tempat kedua penuh drama dimenangi Mu’izz Al-Atrash yang terpaksa mengusung ekzos yang hampir tertanggal ketika perlumbaan masih berbaki lima pusingan.

Ternyata Mu’izz begitu lega sebaik sahaja melintasi garisan penamat dengan catatan masa 9:43.314 saat walaupun jentera dalam keadaan uzur.

Manakala juara pusingan lalu Mohd Zulhilmi Yazid sekadar memperolehi kemenangan tempat ketiga dalam masa 9:44.912 saat bagaimanapun masih mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 41 mata.

Ketinggalan hanya dengan satu mata Mu’izz menghuni tangga kedua sementara Aliff dengan 25 mata di tangga ketiga.