Menekankan bahawa kemenangan keduanya bukanlah sekadar atas faktor nasib, Syairul Yusli Suhaimi menyatakan kerja kerasnya selama ini tidak sia-sia apabila sekali lagi muncul juara kategori Cabaran Honda Wave Alpha.
Pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang itu menyaksikan Syairul berdepan cabaran yang sengit ditambah keadaan litar yang licin akibat hujan.
Saingan sengit itu diakui sendiri oleh Syairul yang berjaya menamatkan 10 pusingan perlumbaan dalam masa 10:54.444 saat.
“Saingan kali ini lebih sengit ditambah keadaan cuaca hujan namun saya begitu gembira dengan kemenangan ini dan merasakan segala kerja keras saya selama ini berbaloi.
“Ketika selekoh terakhir sebelum garisan penamat saya hampir telibat dengan kemalagan apabila Haziq terjatuh ketika cuba memotong saya namun saya bernasib baik dan berjaya memenangi perlumbaan,†terang Syairul.
Tempat kedua pula dimenangi Luth Harith Erwan yang sejak awal mengekori kelompok hadapan di kedudukan ketiga namun bernasib baik apabila Mohd Haziq Mohd Hamdan jatuh di saat akhir membolehkan Luth untuk mengutip 20 mata berharga.
Kemenangan tempat ketiga pula menjadi milik Mohd Sahzul Naim Razali dengan catatan masa 10:59.754 saat juga terkejut mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan podium.
Syairul kini gah dikedudukan teratas keseluruhan dengan 50 mata maksimum diikuti Luth kedua dengan 31 mata manakala Haziq yang berjaya menamatkan perlumbaan di posisi keempat walaupun jatuh disaat akhir di kedudukan ketiga dengan 29 mata.