fbpx

ALIFF DANIAL JUARA DALAM PEMBIKINAN

MUSIM lalu, Aliff Danial Md Asri berjaya melakar sejarah tersendiri dalam kariernya pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS.

Pelumba yang memiliki kemahiran serta bakat luar biasa itu mengakhiri saingan musim 2019 dengan bergelar juara keseluruhan bagi kategori Wira.

Ia pencapaian paling manis dalam kariernya sejak mula menjinakkan diri dengan sukan permotoran seawal usia 9 tahun.

Menyingkap prestasinya pada musim lalu, pelumba asal Tangkak, Johor itu bermula agak perlahan kerana dia sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-11 pada aksi pusingan pertama.

Namun, prestasi tersebut tidak menjejaskan fokusnya untuk tampil lebih baik pada pusingan berikutnya dan ia ternyata berhasil apabila mencatat nama sebagai juara pada Pusingan 2.

Selepas itu rentaknya terus konsisten meskipun berdepan cabaran sengit daripada pelumba pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, Md Zaki Ahmad Zamri.

Dua gelaran juara dan dua gelaran selaku naib juara sudah cukup untuk mengangkat namanya sebagai juara kelas Wira bagi edisi 2019.

Lebih menarik, pelumba berusia 17 tahun itu terus konsisten meraih mata dalam setiap pusingan yang diharunginya.

“Ia detik paling bermakna dalam karier saya.Sesungguhnya, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota pasukan yang telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik buat saya sepanjang musim lalu.

“Kejayaan itu juga telah memberi keyakinan kepada saya untuk terus memantapkan lagi prestasi pada musim 2020 nanti,” jelas Aliff yang menggalas cabaran pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing pada musim 2019 lalu.

Tahun ini, Aliff bakal beraksi dengan pasukan baharu iaitu PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Dia akan beraksi dalam kategori baharu iaitu CP125.

Walaupun dia belum terbiasa dengan kategori baharu itu, tetapi dia bertekad untuk melakukan yang terbaik.

“Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar,” jelas Aliff.

INFO

Kedudukan keseluruhan kelas Wira 2019

Md Aliff Danial Md Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 145 mata

Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) – 133

Awal M Al Fikri Yusni (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 120

Md Haziq Rosmaza (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) – 107                                                                                                                                        

Md Afizad Supaat (Super KIP Motorsports) – 78