fbpx

PERTEMBUNGAN SEMULA AZROY DAN AFIF

Perebutan takhta kejuaraan CP150 menyaksikan pertembungan Azroy dan Afif mengulang kembali kisah persaingan mereka dua tahun lalu

Perebutan takhta kejuaraan CP150 menyaksikan pertembungan epik dua pelumba, Azroy Hakeem Anuar dan Ahmad Afif Amran mengulang kembali kisah persaingan mereka dua tahun lalu. Masing-masing mempunyai misi peribadi pada kali ini untuk melaksanakan percubaan kali ketiga. Ini merupakan cubaan kali ketiga berturut-turut bagi Azroy untuk cuba merangkul gelaran Juara CP150 manakala Afif pula dalam misi memahat sejarah menjadi Juara CP150 buat kali ketiga. Mereka pernah bertembung merebut kejuaraan pada musim 2019 yang berpihak kepada Afif. 

 

Azroy akan menggunakan segala pengetahuan dan pengalaman yang ada untuk mengenggam gelaran juara

Azroy kini mendahului senarai pelumba keseluruhan CP150 dengan 125 mata. Walaupun terlepas perlumbaan Pusingan 1 akibat masalah teknikal, pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team itu mula memimpin kejuaraan setelah mengungguli perlumbaan Pusingan 3 yang berlangsung dalam hujan. Beliau kemudian terus melebarkan penguasaan dengan jurang 32 mata selepas 6 pusingan. Ketika dua perlumbaan terakhir di Tangkak, Azroy dilihat bergelut untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Azroy ternyata sedikit lega apabila baki dua pusingan akan bersambung pada hujung minggu ini di Litar Sepang Selatan.

“Atas kertas memang saya kurang bernasib baik di Litar Sepang Selatan tapi sejujurnya saya lebih suka trek ini berbanding Litar Sepang Utara kerana lebih mencabar dan menarik. Seperti yang semua tahu, perlumbaan di Litar Sepang Selatan lebih terbuka dan sesiapa sahaja boleh menang. Cuma saya sedikit lega kerana di sini saya tidak perlu mengharapkan seratus peratus kekuatan jentera seperti di Tangkak. Saya akan menggunakan segala pengetahuan dan pengalaman yang saya ada untuk pastikan saya menamatkan perlumbaan dihadapan Afif pada dua perlumbaan terakhir nanti. Dalam masa yang sama, saya juga perlu waspada dengan Akid yang masih mampu mencabar kejuaraan. Saya akan berusaha untuk mengenggam gelaran juara pada kali ini”, ulas Azroy apabila ditanya mengenai perlumbaan minggu ini.

 

Afif beri tumpuan pada persiapan jentera dan strategi perlumbaan

Berbeza pula dengan Afif yang pada suatu ketika terkeluar dari senarai 10 pelumba teratas Keseluruhan Pelumba CP150 setelah gagal menamatkan perlumbaan Pusingan 3 walaupun pada awalnya meraih podium pada aksi pembukaan. Bekas Juara CP150 musim 2018 dan 2019 itu kemudian bangkit dengan dua podium untuk merapatkan jurang mata keseluruhan. Ayam tambatan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing tidak mensia-siakan peluang terbaik di Litar Lumba Tangkak untuk merangkul kemenangan berganda. Kemenangan tersebut membolehkan Afif menghampiri pendahulu hanya dengan perbezaan 4 mata.

“Pastinya semua pasukan dan pelumba akan membuat persiapan maksimum untuk mendapatkan keputusan terbaik bagi pusingan penutup musim ini dan perlumbaan akan menjadi semakin sengit. Saya akui ada sedikit tekanan tapi saya anggap itu sebagai perkara biasa dan cuba hadapi dengan tenang. Saya tak terlalu fikir untuk mengejar kejuaraan sebab takut saya terlalai ketika perlumbaan. Saya lebih beri tumpuan persiapan untuk mendapatkan setup terbaik jentera dan juga strategi perlumbaan”, jelas Afif yang lebih mahu fokus kepada persiapan diri dan jentera.

 

Akid masih berpeluang mencabar gelaran Juara CP150

Pertembungan jentera dua pengeluar ini menjadi tumpuan dan amat dinantikan seluruh peminat Cub Prix pada baki dua pusingan minggu ini namun dalam masa yang sama, Akid Aziz yang membawa cabaran ONEXOX TKKR Racing Team juga masih mempunyai peluang mencabar kejuaraan. Walau bagaimanapun Akid belum meletakkan apa-apa sasaran lagi dan menunggu situasi sebenar pada minggu perlumbaan.

“Susah untuk saya katakan tentang peluang saya untuk merebut kejuaraan. Semua bergantung kepada situasi semasa bermula sesi latihan bebas dan kelayakan, dari situ baru saya boleh letak sasaran. Buat masa sekarang saya hanya nak ‘enjoy’ perlumbaan dulu. Memang dalam kerja kita, kita kena ‘enjoy’ supaya kita tak tertekan dan lebih tenang. Saya rasa saingan pasti sengit sebab ramai yang akan cuba menang dan podium bagi penutup musim 2021 dan buat masa ini, kami akan bergantung kepada situasi semasa seperti keadaan jentera, rakan sepasukan dan saingan pelumba lain untuk merangka strategi perlumbaan”, kata pelumba asal Kuala Lumpur ini.

Selain itu, dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor iaitu Kasma Daniel Kasmayudin dan Nazirul Izzat Md Bahauddin secara teorinya masih mampu mengugat kejuaraan jika sesuatu berlaku kepada pendahulu kejuaraan. Walaupun pelumba lain tidak mempunyai peluang merebut kejuaraan tapi mereka pastinya akan cuba untuk mendapatkan keputusan terbaik sebelum tirai musim ini dilabuhkan. Persaingan daripada pelumba-pelumba ini akan menambah lagi cabaran buat calon Juara CP150. 

Perebutan gelaran pasukan terbaik juga dijangka sengit dengan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing kini mendahului ditempat pertama dengan jumlah 197 mata diekori rapat PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan hanya perbezaan 2 mata manakala ONEXOX TKKR Racing Team berada di kedudukan ketiga dengan 189 mata. Persaingan untuk merebut dua gelaran utama ini pastinya akan menjanjikan perlumbaan yang mendebarkan.

Aksi mendebarkan ini akan dapat disaksikan dalam saingan Pusingan 9 dan 10 Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia yang akan berlangsung pada 17-19 Disember nanti bertempat di Litar Sepang Selatan.

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook