fbpx

PELUANG TERBAIK ADIB TAMATKAN KEMARAU 11 TAHUN

Adib Rosley kini berada dalam situasi terbaik untuk menamatkan kemarau 11 tahun apabila mendahului senarai pelumba CP125 dengan 150 mata

Adib Rosley kini berada dalam situasi terbaik untuk menamatkan kemarau 11 tahun tanpa kejuaraan. Adib Rosley dinobatkan sebagai Juara Wira epg pada tahun 2010 dan sejak itu nasib tidak menyebelahi beliau untuk bergelar juara dalam kelas CP115, CP130, CP150 mahupun CP125. Namun pada tahun ini persembahan Adib dan prestasi jentera beliau sentiasa konsisten apabila mencatat enam podium dan tiga kemenangan. Adib kini mendahului senarai pelumba CP125 dengan 150 mata.

Pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team itu hanya memerlukan 19 mata untuk memastikan trofi CP125 menjadi milik beliau namun ketika ditanya beliau mahu lebih berhati-hati pada setiap sesi. Adib hanya mahu berada dalam kelompok 5 terbaik perlumbaan dan mengumpul mata secukupnya untuk bergelar juara. 

“Saya perlu lebih berhati-hati nanti kerana masih ada baki dua perlumbaan, macam-macam perkara boleh terjadi. Dalam litar, kadangkala kesilapan pelumba lain boleh melibatkan kita atau masalah jentera pun mungkin boleh berlaku. Saya tak nak amik risiko terlalu tinggi untuk ‘hard try’, saya hanya akan cuma cuba untuk berada di kelompok lima teratas dan kumpul mata yang diperlukan. Saya agak berdebar kerana berpeluang untuk menjadi juara selepas 11 tahun dan tahun ini juga pasukan saya berada tahap terbaik untuk mengejar kejuaraan CP125”, kata Adib yang sentiasa menamatkan perlumbaan di 10 tempat teratas musim ini.

Selepas lapan pusingan Adib dan rakan sepasukan, Md Fareez Afeez Abd Rahman melakar sembilan podium dan empat kemenangan dengan mengumpul 252 mata sekaligus berada pada landasan terbaik untuk pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team menjadi Juara Keseluruhan Pasukan CP125 musim ini.

 

Hafiza Rofa sasar kemenangan berganda bagi menutup musim 2021

 Berbeza dengan pencabar terdekat, Hafiza Rofa yang ketinggalan 32 mata mengakui agak sukar untuk mengejar kedudukan Adib namun pelumba ONEXOX TKKR Racing Team itu tetap meletakkan sasaran untuk mendapatkan kemenangan berganda.

“Jika dilihat pada jarak mata keseluruhan, agak sukar untuk saya mengejar juara tapi saya masih tak berputus asa. Saya akan cuba untuk kurangkan kesilapan dan kutip mata maksimum. Dua perlumbaan terakhir di Litar Sepang Selatan memang mencabar kerana biasanya kami akan bersaing dalam kelompok besar tapi saya kalau boleh nak cuba dapatkan ‘double win’ di sana”, terang Hafiza.

 

Syafiq Rosli tumpu rebut Naib Juara CP125

Berdasarkan jumlah mata, peyandang juara CP125 musim lalu dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Syafiq Rosli berkata peluang sangat tipis untuk beliau mengejar kejuaraan kecuali jika sesuatu berlaku kepada dua pencabar di atas sebaliknya beliau lebih fokus untuk menjadi Naib Juara CP125.

“Agak sukar untuk saya mencabar kejuaraan jika dilihat pada prestasi konsisten jentera pendahulu pada musim ini. Saya lebih fokus untuk mencabar kedudukan kedua keseluruhan. Pastinya perlumbaan akan lebih sengit kerana setiap pelumba pasti akan cuba mendapatkan kemenangan atau podium pada dua perlumbaan terakhir ini”, akui Syafiq yang kini mengumpul 109 mata.

Setelah sekian lama, akhirnya penentuan Juara CP125 kali ini akan disaksikan oleh penonton yang dibenarkan kembali hadir ke Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia di Litar Sepang Selatan pada 17-19 Disember ini bagi saingan Pusingan 9 dan 10. 

 

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook