fbpx

PENCARIAN PELUMBA MUSIM 2017 BERMULA


Infoboard #RiderSearch2017sPencarian bakat baharu sukan permotoran Malaysia kini semakin mendapat tempat dan diperhebat susulan kejayaan bekas pelumba Cub Prix mencipta nama di pentas antarabangsa ketika ini seperti Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin Abdullah, Adam Norrodin and Zulfahmi Khairuddin.

Kepada yang berminat, pendaftaran untuk pemilihan pelumba siri perlumbaan satu pengeluar Honda dan Yamaha bagi musim 2017 kini dibuka lebih awal serentak dengan penganjuran pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 yang akan berlangsung di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu, 19 dan 20 Ogos ini.

“Minat dan momentum terhadap sukan permotoran di dalam negara semakin meningkat musim ini khususnya dengan beberapa kejayaan yang dicapai oleh pelumba negara di peringkat Asia dan juga peringkat antarabangsa,” jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, promoter perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Ron Hogg.

“Selepas mengadakan beberapa perbincangan bersama pihak Honda dan Yamaha, semua pihak bersetuju untuk memulakan proses pendaftaran dan pemilihan pelumba lebih awal bermula minggu ini sehingga ke November depan. Tempoh yang lebih lama ini membolehkan pendaftaran yang lebih ramai dan meluas ke seluruh negara.”

Pelumba yang terpilih akan menerima latihan daripada jurulatih dan bekas pelumba yang berpengalaman serta motosikal akan turut disediakan oleh pihak pengeluar.

Walau bagaimanapun, bermula musim 2017, pelumba yang terpilih untuk menyertai perlumbaan satu pengeluar Honda dan Yamaha perlu membuat bayaran berjumlah RM4000 semusim merangkumi yuran pendaftaran untuk 10 perlumbaan musim 2017, insurans perlumbaan dan lain-lain perkara berkaitan pengurusan perlumbaan.

“Selain pada itu, sut perlumbaan yang digunakan akan menjadi milik pelumba pada penghujung musim. Di samping itu, pihak Yamaha akan menyediakan slot dalam kategori Wira kepada dua pelumba terbaik musim 2017 manakala pihak Honda turut akan membantu tiga pelumba terbaik untuk berada di dalam pasukan satelit Honda.

“Siri perlumbaan satu pengeluar Honda dan Yamaha ini menjadi landasan penting kepada proses mengenalpasti dan pembangunan pelumba muda di Malaysia. Hampir kesemua pelumba Malaysia yang mencipta nama di pentas antarabangsa memulakan karier mereka di sini. Sebagai contoh, potensi Khairul Idham Pawi mula dikenalpasti ketika beraksi dalam siri perlumbaan Honda manakala Hafizh Syahrin Abdullah juga mula mencipta kejayaan pada usia 13 tahun di dalam siri perlumbaan Yamaha. Malah, kedua-dua perlumbaan kelas biasiswa ini juga lebih murah dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar.”

Kepada remaja berusia 13 hingga 20 tahun yang berminat boleh mendapat maklumat lanjut mengenai permohonan boleh layari laman rasmi Kejuaraan Cub Prix di www.malaysiancubprix.com