PONTIAN, 20 Julai– Deruman jentera di atas litar memecah suasana tenang di Pontian apabila Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 yang julung kalinya diadakan di bandar barat daya Johor itu, menyingkap tirainya hari ini.
Kejuaraan Cub Prix yang singgah buat kali pertama di daerah Pontian, telah menyajikan agenda hujung minggu yang tidak akan dilupakan oleh masyarakat tempatan, dan mereka turun penuh semangat untuk memenuhi ruang penonton yang disediakan di sepanjang litar sejauh 1.278 kilometer (km) itu.
Dengan latar belakang laut Selat Johor, ia menjadikan litar tersebut kelihatan unik dan menarik, tetapi aksi di litar dalam kalangan para pelumba tetap sengit dan mencabar.
Pada aksi hari pertama itu, deruman jentera sudah mulai memecah suasana sunyi di daerah Pontian seawal pukul 8.45 pagi lagi apabila sesi latihan bebas kelas CP150 dilangsungkan.
Ia disusuli dengan latihan bebas bagi kelas Wira, CP115 serta perlumbaan sokongan membabitkan Cabaran Honda Dash 125, Petronas Sprinta Pro Am Cup, Yamaha Petronas Super Series dan juga Cabaran AEON Credit Service Yamaha NVX.
Sesi tersebut dipergunakan oleh para pelumba untuk memahami keadaan litar yang mempunyai tujuh selekoh sukar itu, kerana ia merupakan gelanggang baharu buat mereka.
Saingan sebenar bermula pada sebelah petangnya apabila sesi kelayakan mengambil tempat dan seperti dijangka momentum perlumbaan lebih pantas dan mencabar terutamanya bagi para pelumba yang dapat membaca dengan mudah selok-belok di litar baharu itu.
Pada sesi kelayakan kelas CP150, kelebihan ternyata memihak kepada dua pelumba Selangor, Md Azhar Abd Jalil dan Md Izzat Zaidi Md Salehan yang menyambar dua kedudukan teratas.
Azhar tampil dengan catatan masa terpantas apabila merekodkan 52.130 saat (s) satu pusingan diikuti rakan sepasukannya dalam Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Izzat yang menamatkan sesi kelayakan itu dengan catatan masa 52.328s.
Tempat ketiga terpantas menjadi milik Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan catatan masa 52.446s.
Afif merupakan pendahulu keseluruhan kelas CP150 ketika ini dengan mengumpul 58 mata.
Bagi Azhar, apa yang mereka buktikan pada sesi kelayakan di Pontian ini membuktikan beberapa perubahan yang telah mereka lakukan sepanjang musim ini sudah mula memperlihatkan hasil.
“Kami sudah mula dapat merasai momentum ini sejak Pusingan 3 lagi di Tangkak sebelum ini dan berharap agar rentak cemerlang ini berterusan sehingga ke perlumbaan sebenar esok.
“Perubahan pada gear serta penggunaan spoket juga nampak stabil selepas kami melakukan ujian di Tangkak. Semaunya nampak lancar hari ini,†jelas Azhar yang kini berada di kedudukan ke-11 keseluruhan dengan 18 mata.
Dia kini bertekad untuk mengekalkan rentak cemerlang itu pada saingan sebenar esok dengan harapan keadaan jentera terus berada pada tahap terbaik.
Bagi kelas CP115 pula, Md Adib Rosley mengikuti jejak dua rakan sepasukannya dalam kelas CP150Â apabila tampil terpantas pada sesi kelayakan A dengan catatan masa 54.607s sepusingan.
Md Khairil Asyraf Mahmood yang juga mewakili pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing berada di kedudukan kedua terpantas dengan masa 55.103s.
Sesi kelayakan CP115 B pula menyaksikan ketangkasan pelumba pasukan Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli yang mencatat masa terpantas, 54.607s.
Kelas Wira pula menyaksikan penguasaan Md Aliff Danial Md Asri (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) dan Akif Hakimi Zainuddin (Wiramuda V-Fiertech Academy Racing) yang tampil terpantas masing-masing pada sesi kelayakan A dan B.
Aliff membuktikan sengatnya pada sesi kelayayan A dengan catatan masa terpantas 55.9782 manakala Akif melakukannya dalam sesi B dengan masa 56.266s.
Walaupun masih terlalu awal untuk membuat ramalan, namun penguasaan barisan pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing di Pontian ini memberi petanda bahawa bakal menguasai saingan Pusingan 4.
Dua kedudukan teratas sesi kelayakan bagi kategori utama hari ini iaitu CP150 dan CP115 sudah mereka kuasai, dan esok akan menjadi detik penentu sama ada Pontian mampu mereka takluki atau sebaliknya.