fbpx

AZROY TARUHAN IDEMITSU HONDA YUZY RACING DI PONTIAN

PONTIAN, 19 Julai – Azroy Hakeem Anuar menjadi taruhan pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing untuk menguasai saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Pontian, Johor minggu ini.

Pontian, yang merupakan venue baharu Cub Prix musim ini, seharusnya dipergunakan sebaik mungkin oleh Azroy untuk meraih mata maksimum dalam misi memintas kedudukan Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dalam carta keseluruhan kelas CP150.

Afif yang merupakan juara keseluruhan musim lalu,  kini mendahului kedudukan dengan 58 mata manakala Azroy di tempat kedua dengan 55 mata.

Azroy telah membuktikan kehebatannya dalam dua pusingan awal sebelum ini selepas menjuarai saingan Pusingan 1 dan 2, masing-masing di Jasin, Melaka dan Batu Kawan, Pulau Pinang.

Namun, nasibnya tidak begitu baik pada Pusingan 3 di Tangkak, Johor selepas sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 untuk meraih lima mata.

Minggu ini, dia perlu mengembalikan rentak cemerlangnya jika mahu terus memberi tekanan kepada pencabar utamanya, Afif.

Malah, pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa anak didiknya itu akan kembali menyengat di Pontian minggu ini, seperti mana yang dibuktikan dalam dua pusingan awal sebelum ini.

Menurut Yuzy, Azroy mampu melakukannya jika mengambil kira prestasinya di Jasin dan Batu Kawan.

“Pontian seharusnya medan buat Azroy, lagipun keadaan jenteranya ketika ini berada pada tahap terbaik. Azroy perlu meraih sebanyak mata yang mungkin bagi mengubah kedudukannya dalam carta keseluruhan.

“Perbezaan mata antara Azroy dan Afif ketika ini tidak banyak beza, oleh itu dia (Azroy) perlu menjadikan Pontian ini sebagai medan untuk kembali bergelar juara.

“Saya yakin dia mampu melakukannya selepas berdepan dengan masalah jentera ketika saingan Pusingan 3 di Tangkak sebelum ini.

“Lebih menarik, Pontian merupakan litar baharu dan ia peluang baik buat pelumba kami khususnya Azroy untuk melakukan penamat podium.

“Selain itu, misi kami di Pontian adalah untuk terus mengukuhkan status kami selaku pendahulu keseluruhan kategori berpasukan,” jelas Yuzy.

Yuzy juga mengakui bahawa persiapan mereka agak terjejas tanpa kehadiran Md Zaqhwan Zaidi yang akan beraksi pada perlumbaan endurance Suzuka 8-Hours (S8H) minggu depan.

“Walaupun ketiadaan Zaqhwan agak dirasai, tetapi perjuangan kami perlu diteruskan dan pelumba lain dalam pasukan perlu memainkan peranan masing-masing untuk terus menyumbang mata kepada pasukan.

“Zaqhwan antara pelumba yang konsisten menyumbang mata buat pasukan,” jelas Yuzy sambil mendoakan agar pelumbanya itu meraih kejayaan bersama pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa di S8H minggu depan.

Selain Azroy, turut menjadi taruhan Yuzy adalah Md Harith Farhan Baharin yang kini berada di kedudukan ke-17 keseluruhan.

“Harith perlu lebih gagah kerana dia kini akan memainkan peranan yang ditinggalkan oleh Zaqhwan. Dia perlu meraih sebanyak mata yang mungkin.

“Misi kami di Pontian adalah untuk memburu kejuaraan. Keadaan jentera juga tidak berdepan masalah dan saya yakin kami mampu melakukannya walaupun semua pasukan masih belum memahami keadaan litar di Pontian ini,” jelasnya.

Pada saingan di Pontian minggu ini, tiga kategori utama akan menjadi tumpuan iaitu kelas CP150, CP115 dan juga kelas Wira.

Turut dilangsungkan ialah perlumbaan sokongan One Make Race iaitu Cabaran Honda Dash 125, Cabaran AEON Credit Service Yamaha NVX dan Yamaha Petronas Super Series.

Esok (Sabtu) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyaksikan perlumbaan berprestij itu  sempena persinggahan Kembara Mahkota Johor di Pontian.